Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

Liga Perdana: MU menang 2-0, makin kukuh

on Tuesday, 3 April 2012

MANCHESTER United (MU) terus kekal di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dan melebarkan jurang mata dengan menang mudah 2-0 ke atas Blackburn.

Dua gol yang membolehkan tiga mata penuh bagi MU dijaringkan oleh Antonio Valencia dan Ashley.

Kemenangan itu meletakkan MU lima mata di depan Manchester City. Selepas melengkapkan 31 perlawanan setakat ini, MU dan Manchester City masing-masing telah mengumpulkan 76 dan 71 mata.

Walaupun menang 2-0, MU terpaksa menunggu sehingga minit ke-81 untuk menjaringkan gol menerusi Valencia dan lima minit kemudian oleh Young.

- Sinar Harian
Tag :

Impian musnah, Malaysia gagal ke final Piala Axiata

on Monday, 2 April 2012

KEDUA-DUA skuad negara, Malaysia Tigers dan Malaysia Leopards, gagal ke pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Axiata setelah kalah pada lawan masing-masing di saingan separuh akhir kedua hari ini.

Tigers, yang diwakili perseorangan Liew Daren dan Mohd Arif Abdul Latif serta beregu Goh V. Shem/Lim Khim Wah, tunduk pada Indonesia Garuda 0-3 di Stadium Badminton Cheras di sini, malam ini.

Di Britama Arena Sports Mall, Jakarta, petang tadi, pertembungan antara barisan muda Malaysia (Leopards) dan Indonesia (Rajawali) turut menyaksikan kekalahan 0-3 pasukan negara kepada republik itu.

Jurulatih perseorangan kebangsaan Rashid Sidek mengakui beliau tidak berpuas hati dengan pencapaian skuad Tigers yang disasarkan untuk menempah tiket ke final.

"Kita sebenarnya menjangkakan kita boleh melakukan lebih baik hari ini setelah kalah pada separuh akhir pertama Jumaat lalu, tapi Indonesia memberi tandingan yang lebih kuat hari ini," katanya kepada media selepas perlawanan.

Kecewa dengan kekalahan itu, beliau berkata, barisan pemain yang diturunkan kali ini adalah 'masa depan' badminton Malaysia dan beliau berharap mereka dapat mempelajari sesuatu daripada kejohanan yang julung kali diadakan itu.

Garuda akan bertemu Rajawali pada perlawanan akhir kejohanan itu iaitu pada 14 dan 15 April ini di Jakarta.

Pada perlawanan di Kuala Lumpur, Liew yang turun sebagai perseorangan pertama Tigers tidak berjaya menandingi pemain ranking kesembilan dunia Simon Santoso apabila tumpas 11-21, 14-21.

Goh dan Lim, meskipun memberi saingan hebat kepada gandingan Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan terpaksa akur dengan kekalahan 22-24, 20-22, manakala Mohamad Arif mudah diketepikan bekas juara dunia Taufik Hidayat 10-21, 7-21.

Sebelum itu pada saingan di Jakarta, perseorangan pertama Leopards Misbun Ramdan Misbun gagal menyerlah apabila dikecewakan Tommy Sugiarto 15-21, 21-17, 21-13.

Beregu negara Teo Ee Yi/Nelson Heg Wei Keat pula tewas pada Rian Agung Saputro dan Angga Pratama 19-21, 21-23 manakala perseorangan kedua Leopards Iskandar Zulkarnain dikalahkan Dionysius Hayom Rumbaka 21-14, 17-21, 19-21.

- Bernama
Tag :

Malaysia Tigers dalam zon bahaya

on Sunday, 1 April 2012

KUDRAT Chong Wei amat ditagih skuad Malaysia Tigers bagi menghadapi Indonesia Garuda di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur malam ini.

SEDAR misi memburu slot final kejohanan badminton Piala Axiata 2012 agak tipis, skuad Malaysia Tigers dijangka mempertaruhkan barisan terkuat bagi menghadapi Indonesia Garuda pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur malam ini.

Terdahulu, skuad Malaysia Tigers tewas 1-2 kepada Indonesia Garuda pada pada aksi separuh akhir pertama di Britama Arena Sports Mall, Jakarta kelmarin.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia Tigers perlu meraih kemenangan mudah 3-0 bagi menjamin slot ke pentas final pada kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu.


Bagi merealisasikan misi tersebut, jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei dijangka mengetuai skuad Malaysia Tigers selepas pemain No. 1 dunia itu tidak beraksi pada peringkat kumpulan dan aksi separuh akhir pertama.

Biarpun status kecederaan bahu kanan yang dialami Chong Wei masih menimbulkan tanda tanya, jagoan negara itu sebelum ini telah menyatakan kesediaannya untuk memperkuatkan cabaran Malaysia Tigers.

Ketiadaan Chong Wei menyaksikan Malaysia Tigers sekadar muncul naib juara Kumpulan K selepas tewas 1-2 kepada Indonesia Rajawali pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock pernah memberitahu sebelum ini bahawa kehadiran Chong Wei pasti akan membuka peluang yang lebih luas buat Malaysia Tigers untuk menumpaskan Indonesia Garuda.

Bagaimanapun, Seu Bock juga risau sekiranya penampilan Chong Wei nanti akan menyebabkan jaguh negara itu mengalami kecederaan yang lebih teruk.

"Kita belum buat keputusan lagi siapa yang akan bermain malam esok (hari ini) tetapi peluang untuk mendapatkan khidmat Chong Wei masih 50-50.

"Kita tidak mahu kerana penampilan pada Piala Axiata ini akan menyebabkan Chong Wei terlepas ujian lebih besar iaitu Piala Thomas dan Sukan Olimpik di London.

"Meskipun hadiah yang ditawarkan lumayan tetapi pasukan negara tidak perlu mengambil risiko dengan menurunkan Chong Wei," kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Sementara itu, jurulatih beregu negara, Tan Kim Her juga tidak dapat memberikan kepastian sama ada gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dapat diturunkan malam ini.

"Sebelum ini, Tan ada memberitahu saya yang dia tidak sihat dan sakit-sakit badan, jadi saya perlu tunggu dan lihat dahulu esok (hari ini) jika dia sudah pulih.

"Jika mereka (Kien Keat-Boon Heong) tidak dapat beraksi, kami akan menggunakan khidmat Lim Kim Wah dan Goh V Shem sekali lagi," katanya semalam.

Juara kejohanan akan menerima hadiah wang tunai bernilai AS$400,000 (RM1.22 juta) dan naib juara pula AS$200,000 (RM612,400).

Pasukan yang tewas pada peringkat separuh akhir akan menerima wang tunai AS$100,000 (RM306,200), manakala empat pasukan yang tersingkir pada peringkat kumpulan bakal membawa pulang AS$50,000 (RM153,100). - Kosmo! Online
Tag :

Godam lepas geram

on Saturday, 31 March 2012

CERCA...laman web FAM tercemar dengan kata-kata mengkritik pucuk kepimpinan.

LAMAN web Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digodam lagi. Kali ini tindakan individu tidak bertanggungjawab itu lebih dahsyat apabila menjadikan laman web FAM untuk melepaskan geram terhadap kepimpinan tertinggi badan induk bola sepak tanah air itu.

Difahamkan tindakan menggodam laman web www.fam.org.my berlaku jam 3.20 petang semalam ada kaitan dengan rasa tidak puas hati segelintir pihak membabitkan isu Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa yang kemungkinan bakal dikenakan hukuman atas kesalahannya mengkritik secara terbuka prestasi skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal pada 13 Mac lalu.



Tinjauan Arena Metro mendapati, penggodam yang menceroboh laman web FAM itu meletakkan tiga keping gambar sambil disertakan kata-kata tidak puas hati, antaranya “FAM do not critic' (Jangan kritik FAM) dan ‘Tolong Rombak FAM! Presiden Sila Letak Jawatan’ dan ‘Presiden Sila Letak Jawatan Kami Dah Fed-Up!’ Turut dimuat turun ke laman web itu adalah klip video dan undian yang menggesa pemimpin tertinggi badan induk itu meletakkan jawatan.

Bagaimanapun selepas laman web FAM itu berjaya dipulihkan dua jam kemudian, laman web itu sekali lagi digodam kira-kira jam 8 malam dengan sekeping gambar majlis perkahwinan individu yang tidak dikenali diletakkan sambil tertera kata-kata kesat.


Usaha mendapatkan maklum balas mengenai pencerobohan laman web itu gagal apabila Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad gagal dihubungi.


Bagaimanapun sumber dalaman FAM mengesahkan perkara itu dan ia sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sebelum ini, laman web FAM pernah diceroboh pada 27 Oktober tahun lalu apabila penggodam bertindak mempamerkan logo FAM yang diubah suai dengan meletakkan imej ‘khinzir’ serta rakaman dua video berbaur provokasi.


Difahamkan pada masa itu, tindakan didorong rasa marah segelintir pihak dengan keputusan badan induk bola sepak tanah air itu menaikkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Negeri Sembilan dan Terengganu. - myMetro
Tag :

Pemain Kedah tertekan angkara penyokong

on Friday, 30 March 2012

PEMAIN Kedah (jersi hijau) agak tertekan apabila beraksi di halaman sendiri gara-gara kerenah penyokong.

BOLEH menang di tempat lawan, namun belum tentu boleh menang di tempat sendiri.Begitu dilema skuad Kedah yang berdepan tekanan setiap kali beraksi di gelanggang sendiri – Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Perkara yang menghantui pemain ialah sokongan penonton bertukar menjadi cacian.


Pengurus pasukan Kedah, Datuk Khazali Din memberitahu, bukan sekadar cacian, malah ada penyokong yang merendah-rendah dan memperlecehkan pemain sehingga boleh menyebabkan moral mereka jatuh.

Katanya, perkara itu memalukan pemain kerana cacian dilontarkan secara terbuka yang boleh didengar ramai penonton di stadium.

“Pemain amat menghargai sokongan penonton yang membanjiri stadium setiap kali Kedah beraksi, namun mereka kurang selesa dengan cacian dan kata-kata kesat.

“Ia boleh melemahkan semangat mereka. Kesilapan kecil biasa dalam bola sepak, namun pemain mengharapkan penonton memberi semangat dan dorongan kepada mereka untuk beraksi lebih baik,” katanya.

Kedah menanti kunjungan Perak pada saingan Liga Super malam ini dalam usaha memburu kemenangan, sekali gus keluar daripada zon penyingkiran.

Menurut Khazali, penonton perlu menjaga emosi mereka supaya jangan mengeluarkan perkataan yang boleh menyakitkan hati pemain.

“Pemain juga manusia yang ada perasaan. Penonton dan pemain perlu sama-sama menjaga hati. Pemain mana yang mahukan kekalahan dalam perlawanan yang diharungi mereka.

“Saya berharap penonton dapat memberi sokongan padu kepada pemain Kedah dan bukannya cacian,” katanya.

Tambahnya, kehadiran penonton ke stadium semakin meningkat dan berharap dapat menyuntik semangat pemain untuk beraksi dengan lebih baik, lebih-lebih lagi ketika Kedah memerlukan mata bagi membaiki kedudukan dalam liga.

“Keyakinan pemain amat tinggi selepas menumpaskan T-Team baru-baru ini dan berharap momentum kemenangan itu dapat diteruskan,” katanya. - Kosmo! Online
Tag :

Presiden KFA tegur rentak Kedah

on Thursday, 29 March 2012

PRESTASI tidak menentu pemain import Kedah, Mohammed Hamidan menimbulkan rasa tidak puas hati individu No. 1 dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Maka memang tidak mengejutkan apabila Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Presiden KFA menegur Hamidan agar meningkatkan lagi prestasi bagi membantu Kedah meraih kemenangan.

“Dalam (sukan) bola sepak, persefahaman adalah perkara utama dan bagi memperoleh elemen itu, ia memerlukan masa, lebih-lebih lagi kepada pemain import baharu.


“Misalnya, pasukan kebangsaan. Kadang-kadang mereka lemah sebab bercampur dengan ramai pemain dan tiada persefahaman. Mereka perlu masa untuk bentuk persefahaman.

“Sebab itu kadang-kadang pasukan kebangsaan ini kalah dengan pasukan kelab kerana mereka (pemain pasukan kelab) bermain bersama sudah lama dan mempunyai persefahaman yang baik,” kata Azizan kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Alor Setar semalam.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah menambah, sebelum ini ‘riuh rendah’ dalam kalangan penyokong kerana Kedah sering mengalami kekalahan.

“Bagaimanapun, sekarang Kedah sudah menang, malah lebih menarik menewaskan T-Team untuk layak ke separuh akhir Piala FA.

“Saya ingat seri jadi saya masuk tidur. Rupanya menang 2-1,” katanya.

Menurut Azizan, kejayaan yang dicapai Kedah dalam beberapa perlawanan terakhir menyebabkan penyokong setia skuad Kenari kembali memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka itu.

“Dulu peminat tidak sokong pemain dan mereka pun bermain sambil lewa. Bak kata orang hambar. Sekarang semua sudah bersemangat, pemain dan penyokong,” katanya.

Justeru, Azizan turut mengingatkan barisan pemain Kedah yang lain supaya berdisiplin dan meningkatkan keazaman untuk mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Pemain juga perlu mempunyai keyakinan diri dan optimis. Semua boleh bermain tetapi tiada keyakinan pada diri menyukarkan pasukan untuk menang,” katanya.

Menyentuh tekanan yang bakal dihadapi Kedah ketika menentang Kelantan dalam aksi separuh akhir Piala FA bulan depan, Azizan memberitahu: “Semua pasukan berada dalam situasi itu dan yakin Kedah mampu meraih kemenangan.

“Kelantan pun takut dekat kita (Kedah) dan kita pun takut dekat Kelantan tetapi saya yakin Kedah boleh menang,” katanya. - Kosmo! Online
Tag :

Penentu 30 April

on Wednesday, 28 March 2012

PERTEMBUNGAN dua kelab Manchester pada 30 April ini akan menentukan siapa akan menakluki gelaran Liga Perdana Inggeris, demikian menurut pemain tengah Manchester United, Ryan Giggs.

United mendahului City dengan tiga mata, berbaki lapan perlawanan selepas menang 1-0 ke atas Fulham, malam kelmarin. Bagaimanapun, City mempunyai perbezaan gol lebih besar dan akan menjadi tuan rumah apabila kedua-dua pasukan bertemu.

“Kami mempunyai pengalaman tetapi City memiliki semangat,” kata Giggs. “Jika kedua-dua kelab meneruskan rentak mereka, semua ini akan ditentukan menerusi perlawanan setempat.”


Kedua-dua pasukan bagaimanapun masih mempunyai dua perlawanan selepas pertembungan di Stadium Etihad.

Mengenai kariernya, Giggs berharap dapat bertahan lebih lama untuk penampilan ke-1,000 buat United. Bulan lalu, dia beraksi dalam perlawanan ke-900 untuk Red Devils menentang Norwich City dengan menjaringkan gol pada minit kecederaan.


Merenung kembali kariernya, kebanyakannya di posisi sayap kiri, pemain berusia 38 tahun itu menamakan bekas pertahanan Arsenal, Lee Dixon dan pemain Inter Milan, Javier Zanetti sebagai lawan yang paling sukar ditentangnya.

“Saya menentang Zanetti buat kali pertama pada perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara 1999. Dia memegang posisi bek kanan manakala saya pula pemain sayap kiri.

“Kualitinya sebagai pemain menakjubkan kerana dia mempunyai kepantasan, tenaga, kepintaran dan skil. Saya menentangnya dalam dua lagi perlawanan lain dan dia adalah lawan paling sukar dan pemain paling sempurna.”

Bagaimanapun pemain Itali yang paling menarik perhatian Giggs adalah pemain Juventus, Alessandro Del Piero. Apabila Manchester United layak ke Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak kelab Inggeris kembali dibenarkan bertanding di kejohanan Eropah, I Bianconeri adalah kelab paling berpengaruh di Eropah.

“Pasukan Juventus pada 1990 begitu hebat,” kata Giggs. “Del Piero adalah pemain Itali terbaik pernah saya temui. Umur kami sebaya dan saya mengikuti perkembangan sepanjang kariernya.

Mengenai Euro 2012, Giggs mungkin mengecewakan rakan sepasukannya apabila berkata dia tidak meletak harapan tinggi terhadap peluang England.

Rio Ferdinand, Ashley Young dan Wayne Rooney mungkin akan menjadi sebahagian skuad England manakala Phil Jones, Danny Welbeck, Tom Cleverley, Michael Carrick dan Chris Smalling turut berpeluang.

“Sepanyol dan Jerman adalah pasukan pilihan, diikuti Perancis, Itali dan Belanda,” kata Giggs. “Saya tidak lihat jika England boleh menang, mereka masih belum mempunyai jurulatih dan Rooney pula digantung dua perlawanan.”

Baru-baru ini, seluruh dunia heboh memperkatakan mengenai Lionel Messi sebagai pemain terbaik sepanjang zaman tetapi Giggs mengakui ada sesuatu yang hilang dari kabinet trofi pemain itu.

“Tidak syak lagi, dia adalah pemain terbaik dunia hari ini. Dia menjaringkan banyak gol, hampir setiap minggu dan bermain di tahap tertinggi.

“Bagaimanapun Diego Maradona dan Pele memenangi Piala Dunia buat Argentina dan Brazil. Bila Messi memenangi Piala Dunia untuk negaranya, barulah dia layak berada setaraf mereka.” - myMetro
Tag : ,

Kedah berjaya meledak dua gol menewaskan T-Team

PEMAIN import dari Ghana, Hamidan Mohammed membuktikan khidmatnya masih diperlukan Kedah apabila meledak dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan T-Team, 2-1 pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.

Kedah yang berputih mata kerana mensia-siakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri ketika seri tanpa jaringan pada pertemuan suku akhir pertama sebelum ini memulakan asakan menerusi percubaan pemain tengah Mohd Faizal Abu Bakar namun rembatan leretnya di awal permainan sedikit tersasar.



Namun penguasaan pasukan pelawat mula kendur apabila T-Team yang dikendalikan Yunus Alif mula melancarkan asakan yang digerakkan ketua pasukan, Zairo Anuar Zalani.

Zairo hampir meletakkan pasukan tuan rumah di depan jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza Elias yang menepis bola sepakan percuma pada minit ke-37.


Bersambung babak kedua, permainan bertambah rancak dengan Kedah terlebih dulu mengancam menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti pemain import Perancis, Abdulfatah Safi, namun penjaga gol T-Team, Mohd Syamsuri Mustafa sudah bersedia lebih awal.


Serangan balas anak buah Wan Jamak Wan Hassan pada minit ke-65 akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran Safi berjaya dikawal baik Hamidan Mohammed dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan menewaskan Syamsuri.

Kelebihan satu gol itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pemain tengah, Azrul Hazran Amiludin Baki yang tidak dikawal, mudah menolak bola ke dalam gawang Kedah untuk menyamakan kedudukan empat minit kemudian.


Namun Hamidan, yang menerima amaran keras kemungkinan digugurkan pihak pengurusan Kedah kerana aksi hambar sebelum ini, menyumbat gol kemenangan pada minit ke-81 selepas menanduk masuk hantaran Safi dari sebelah kanan.

Agregat 2-1 sudah memadai untuk membawa Kedah ke separuh akhir menentang Kelantan pada 21 April ini selepas pasukan gergasi Pantai Timur itu menewaskan KL SPA menerusi agregat 5-0.


Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Terengganu dengan Sime Darby FC. Terengganu menang dengan agregat 1-0 ke atas LionsXII selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 di Singapura, malam tadi. Sime Darby pula menewaskan tuan rumah, Johor FC, 2-1 di Pasir Gudang untuk mara dengan agregat 5-3. - myMetro
Tag :

Safee terus buktikan kehebatan di Indonesia

on Tuesday, 27 March 2012

SAFEE (kanan) terus membuktikan kehebatannya dalam Liga Super Indonesia.

PENYERANG sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali sekali lagi membuktikan kehebatannya.

Pada Sabtu lepas, pemain kelahiran Kajang, Selangor itu berjaya meledak empat gol ketika membantu kelabnya, Pelita Jaya FC membelasah Gresik United dengan ke- putusan 6-1 di gelanggang lawan pada aksi Liga Super Indonesia (ISL) 2012.


Dua lagi gol Pelita Jaya dalam perlawanan itu diledak oleh Greg Nwongkolo dan ia merupakan kemenangan terbesar Pelita Jaya selepas diterajui Rahmad Dharmawan selaku jurulatih pada 19 Januari lepas.

Dengan keputusan itu, Pelita Jaya kini menghuni tangga kelapan ISL dengan 24 mata, 12 mata di belakang peneraju liga, Sriwijaya FC selepas mengharungi 17 perlawanan setakat ini.

Kejayaan Safee, 28, meledak empat gol dalam perlawanan itu juga berjaya meletakkannya sebagai penjaring kedua terbanyak ISL setakat ini dengan 12 gol, kurang tiga gol daripada penyerang import Sriwijaya FC dari Saint Kitts and Nevis, Kayamba Gumbs.

Ia juga merupakan hatrik pertama Safee dalam saingan ISL, selain satu-satunya pemain pertama negara yang berjaya berbuat demikian pada saingan liga luar negara.

Safee juga merupakan pemain pertama Malaysia yang dilantik sebagai kapten kelab profesional luar negara apabila menggalas tugas selaku kapten Pelita Jaya musim ini.

"Kejayaan Safee muncul pemain pertama negara meledak hatrik dalam saingan liga di luar negara sememangnya menga- gumkan.

"Saya harap Safee dapat meneruskan momentum kecemerlangan ini pada masa depan, sekali gus membuktikan kehebatannya sebagai antara penyerang yang disegani di rantau Asia Tenggara," kata pengurus peribadinya, Zakaria Ab Rahim menerusi e-mel kepada Kosmo! semalam.

Untuk rekod, Safee berjaya meledak tujuh gol sepanjang mewakili Pelita Jaya musim lepas.

Selain Safee, antara pemain yang turut berjaya meledak hatrik dalam saingan ISL musim ini termasuklah penyerang Sriwijaya FC, Hilton Moreira, Patrich Wanggai (Persidafon Dafonsoro), Mario Costas (Persela Lamongan), Marcio Souza Da Silva (Arema Indonesia), Gaston Castano (Gresik United) dan Zaenal Arif daripada pasukan PSPS Pekan Baru.

Selepas ini, Pelita Jaya dijadualkan bertemu pasukan di tangga kesembilan liga, Persiba Balik Papan di Stadium Singaperbangsa pada 11 April depan, sebelum kembali melayan kunjungan Gresik United tiga hari kemudian. - Kosmo! Online
Tag :

Kedah mahu lunas 'hutang'

KEDAH akan terlepas khidmat Khyril Muhymeen (kiri) pada aksi suku akhir kedua menentang T-Team malam ini selepas menerima dua kad kuning.

KEDAH yang tewas kepada T-Team pada saingan Liga Super sebelum ini ingin melunaskan ‘hutang’ itu pada perlawanan kedua Piala FA di Kuala Terengganu malam ini.

Skuad Kenari mahu melupakan kekalahan 3-0 itu, sebaliknya membuka lebaran baharu dengan harapan dapat meraih kemenangan untuk berada dalam kelompok empat terbaik kejohanan berprestij tersebut.


Namun, tugas itu bukan satu kerja mudah bagi anak-anak buah Wan Jamak Wan Hassan yang memerlukan mereka memberi komitmen seratus peratus serta semangat juang yang tinggi lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan.

Kelebihan dilihat berpihak kepada pasukan berstatus kelab itu yang sudah pastinya mahu menghadiahkan kemenangan layak ke separuh akhir kepada penyokong setia mereka.

Bagaimanapun bagi Wan Jamak, usaha dan kerja keras pemain pasti membuahkan hasil yang diharapkan biarpun berdepan laluan sukar tanpa sebarang bekalan ketika beraksi di Alor Setar, Sabtu lalu.

Justeru, beliau berharap pemain-pemainnya dapat meningkatkan usaha bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan.

“Pemain perlu berusaha dengan lebih gigih kerana setiap usaha itu tentu mendatangkan hasil. Jangan diingatkan sejarah silam (kekalahan kepada T-Team) sebaliknya fokus dan beri tumpuan kepada perlawanan penting ini,” katanya.

Pada pusingan pertama di Stadium Darul Aman, Sabtu lalu, Kedah gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk meraih kemenangan.

Pada pertemuan dengan T-Team malam ini, Kedah juga kehilangan ‘ayam tambatan’ mereka, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri yang digantung satu perlawanan kerana memiliki dua kad kuning termasuk pada perlawanan Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedang mempertimbang untuk menggugurkan pemain import mereka, Hamidan Mohamed berikutan prestasi hambar pemain dari Ghana itu.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib memberitahu, skuad Kedah akan mengalami kerugian sekiranya masih menyimpan pemain yang gagal memberi sumbangan membanggakan kepada pasukan.

“KFA sedang meneliti beberapa pemain import lain bagi menggantikan Hamidan,” katanya. - Kosmo! Online
Tag :

Piala Axiata tanpa Chong Wei

MALAYSIA Tigers terpaksa meneruskan cabaran separuh akhir Piala Axiata 2012, tanpa aksi daripada pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang bergelumang dengan pemulihan kecederaan bahu kanannya.

Chong wei yang tidak beraksi pada perlawanan peringkat kumpulan berkemungkinan terpaksa melupakan terus gelanggang Piala Axiata yang baru menamatkan saingan peringkat kumpulan di Stadium Badminton Cheras kuala Lumpur, Ahad lalu.

Ketua Jurulatih Perseorangan Negara, Rashid Sidek enggan mengambil risiko menurunkan pemain itu berkata, keputusan sama ada Chong Wei dibenarkan beraksi atau tidak pada perlawanan separuh akhir 30 Mac dan 1 April ini, tetap bergantung kepada laporan perubatan.


“Chong Wei akui dia kecewa kerana gagal membantu pasukan negara muncul juara kumpulan.

“Tetapi kita perlu fikir jangka panjang. Matlamat sekarang adalah pingat emas pertama Sukan Olimpik, London. Jika dia teruskan bermain dan cedera, siapa yang akan bertanggungjawab.

“Mahu tau tidak, pemain sedia ada perlu bangkit dan buktikan mereka mampu beri keputusan cemerlang meskipun tanpa Chong Wei,” katanya skuad negara perlu bijak mengatur strategi membenam skuad Indonesia Garuda pada aksi separuh akhir dan tiada sebab mereka perlu tewas kepada pasukan itu.

Kelmarin, Malaysia Tigers tewas mengejut kepada pasukan pelapis Indonesia, Indonesia Rajawali 1-2 pada pusingan peringkat kumpulan Kejohanan Piala Axiata.

Muhammad Hafiz Hashim yang memulakan cabaran negara kecundang di tangan perseorangan pertama Indonesia Hayom Rumbaka 21-16, 18-21, 10-21 sebelum gandingan Koo Kean Kiet-Tan Boon Heong membawa perkhabaran duka, tumbang kepada Angga Pratama- Rian Agung Saputro, 10-21, 21-18, 21-13.

Perseorangan kedua negara Liew Daren meraih mata tunggal negara dengan menumpaskan Shesar Hiren Rhustavito 21-19, 21-13.

Malaysia Tigers dijadualkan bertemu Indonesia Garuda, sementara Malaysia Leopards menentang Indonesia Rajawali pada peringkat separuh akhir yang bermula Jumaat ini di Jakarta, sebelum menerima kunjungan pelawat di Kuala Lumpur pada 1 April. - Sinar Harian
Tag :

Arsenal terus dibuai mimpi indah

on Monday, 26 March 2012

LONDON – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyifatkan kebangkitan skuadnya ketika ini bagaikan mimpi indah yang menjadi kenyataan.

The Gunners kini selesa menduduki tangga ketiga Liga Perdana England dengan 58 mata selepas menjinakkan Aston Villa dengan keputusan 3-0 malam kelmarin, dan ia merupakan kemenangan ketujuh berturut-turut pasukan itu setakat ini.

Sebelum ini, skuad kendalian Wenger dilihat bergelut dengan prestasi hambar pada permulaan musim apabila sekadar menduduki tangga ke-17 liga.

“Kami memiliki tahap permainan yang cukup konsisten ketika ini. Kami berjaya meledak gol dan dalam masa sama tidak melepaskan gol dengan mudah.

“Sejujurnya, saya rasa bagaikan bermimpi melihat kebangkitan Arsenal dan apa yang perlu kami lakukan selepas ini ialah menghadapi baki perlawanan liga dengan cukup optimis,” katanya.

Begitupun, cerita berbeza pula melanda rakan sejawatannya di Liverpool, Kenny Dalglish yang menyifatkan kekalahan 1-2 kepada pasukan bermasalah, Wigan Athletic kelmarin adalah disebabkan pemainnya yang dilihat agak kepenatan selepas mengharungi jadual perlawanan yang cukup padat.

“Ya, pemain saya memang kepenatan. Tidak kira bagaimana kami beraksi, kadang-kadang tuah juga memainkan peranan.

“Buat masa ini, saya tidak mempunyai pemain yang cergas sepenuhnya apabila terpaksa beraksi banyak perlawanan dalam masa seminggu,” kata Dalglish selepas menyaksikan pasukannya sekadar berada di tangga ketujuh dengan 42 mata.

– AFP
Tag :

Real Madrid lepas geram

MADRID – Tonggak Real Madrid, Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema masing-masing meledak dua gol ketika membantu pasukan itu membelasah Real Sociedad 5-1 dalam aksi Liga Sepanyol kelmarin.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Jose Mourinho berjaya menamatkan badi seri dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum ini.

Selain Ronaldo dan Benzema, satu lagi gol Real semalam dijaringkan Gonzalo Higuain sekali gus membantu pasukan itu selesa mengutip 75 mata setakat ini.

Kemenangan Real tersebut begitu pun tidak disertai Mourinho di tepi padang.

Mourinho tidak dibenarkan berada di bangku simpanan semalam selepas diarahkan meninggalkan padang ketika pasukan itu seri 1-1 dengan Villarreal minggu lepas gara-gara mengkritik keputusan pengadil.

Dengan keputusan itu, Real kekal memiliki kelebihan enam mata di depan pencabar terdekat, Barcelona yang turut menang 2-0 ke atas Real Mallorca.

Kedua-dua gol kemenangan The Catalan diledak oleh penyerang sensasi, Lionel Messi.

– Reuters
Tag :

Satu gol belum selamat

TUGAS sukar menanti Terengganu dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala FA musim ini selepas sekadar mendapat bekalan satu gol ketika melayan kunjungan Lions XII pada aksi suku akhir pertama kelmarin.

Berbekalkan jaringan Joseph Kalang Tie, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu juga tidak mempunyai jalan lain, selain perlu mengelak daripada menjadi 'mangsa' amukan Singa pada pertembungan kedua di Stadium Jalan Besar, esok.

Mat Zan ketika ditemui turut mengakui satu gol yang diperoleh di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin sebenarnya belum menjamin kedudukan juara bertahan itu melangkah ke separuh akhir.


"Satu gol memang belum selamat kerana selepas ini kami akan berkunjung ke Singapura untuk perlawanan suku akhir kedua.

"Sudah pasti kelebihan akan memihak kepada Lions XII apabila beraksi di tempat sendiri dan di pihak kami, ia pastinya perlawanan yang sukar," kata Mat Zan kepada Kosmo! semalam.

Justeru, Mat Zan yang mengambil alih tugas Irfan Bakti pada awal musim ini mengakui dia sedikit kecewa apabila anak-anak buahnya gagal mendapatkan banyak gol pada pertemuan pertama kelmarin.

Jelasnya, perlawanan yang dikuasai sepenuhnya tuan rumah itu pada ketika lawan terpaksa bermain sepuluh orang sepatutnya berakhir dengan jumlah jaringan yang besar.

"Lions XII mempunyai kekuatan di bahagian tengah dan sebab itu kami cuba melancarkan serangan melalui sayap kanan dan kiri.

"Hasilnya, kami berjaya mendapatkan banyak peluang untuk menjaringkan gol, tetapi gagal disudahi dengan baik oleh pemain.

"Paling jelas adalah pada separuh masa kedua apabila pasukan lawan terpaksa bermain dengan sepuluh pemain dan kami pula hanya mampu menjaringkan satu gol," jelasnya.

Pada perlawanan kelmarin, Terengganu memperoleh gol kemenangan pada minit ke-65 apabila rembatan dari luar kotak penalti oleh Joseph terkena pertahanan Lions XII sebelum menerjah jaring.

Mengulas mengenai perlawanan kedua esok, Mat Zan menjelaskan, dia tidak berhasrat untuk menampilkan corak permainan bertahan.

"Kami tidak perlu bertahan kerana kami juga perlukan gol untuk menjamin tempat ke separuh akhir," ujarnya. - Sinar Harian
Tag :

Fernando Alonso juara F1 Malaysia

FERNANDO Alonso dari pasukan Scuderia Ferrari mencatatkan kemenangan dramatik dalam Grand Prix Petronas Malaysia 2012 apabila menafikan Sergio Perez dari pasukan Sauber F1 Team untuk merangkul kemenangan pertama Formula One di Litar Sepang, hari ini.

Pemandu dari Sepanyol itu mencatatkan dua jam, 44 minit dan 51.812 saat untuk mendahului Sergio Perez dari Mexico dengan hanya perbezaan 2.263 saat.


Sementara Lewis Hamilton dari pasukan Vodafone McLaren Mercedes yang memulakan perlumbaan di petak pertama, menduduki tempat ketiga sepertimana pada
musim pembukaan perlumbaan di Melbourne hujung minggu lepas dengan 2:45:06.403s.

"Kami tidak kompetitif di Australia atau di sini. Matlamat kami ialah mendapatkan sebanyak mata yang boleh dan kami berjaya melakukannya.

"Satu keputusan di luar jangkaan, kerja cemerlang daripada pasukan. Kami telah memaksimumkan potensi yanga ada, kekal tenang dalam beberapa keadaan tidak
diingini pada permulaan dengan gangguan dan perlu menukar tayar," kata Alonso.

Perlumbaan bermula dalam hujan lebat dan dihentikan selama 51 minit selepas lapan pusingan namun Alonso nyata cemerlang mengemudikan jentera yang sebelum
ini gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam pusingan kelayakan dan pusingan musim pembukaan.

"Pasukan wajar dipuji bagi kemenangan ini. Ini merupakan waktu sukar bagi kami pada ketika ini, tetapi Ahad ini akan terpahat dalam ingatan kami untuk selamanya," kata juara dunia dua kali itu.

Kemenangannya hari ini merupakan gelaran keduanya dalam Grand Prix Malaysia dan pencapaian hebat dalam 28 tahun kariernya. Beliau memenangi Grand Prix Malaysia pada 2007 dengan pasukan McLaren Mercedes.

Alonso juga kini menjadi pendahulu kejohanan dunia ini dengan 35 mata, lima mata di hadapan Hamilton.

Sementara itu, Perez, 22, yang nyata hampir merealisasikan impian mencatatkan kemenangan pertamanya, namun peluang itu dinafikan apabila beliau
dipintas pada pusingan 50.

Bagaimanapun, beliau berjaya mencatatkan kemenangan podium pertamanya dan gembira dengan prestasi keretanya.

"Pasukan telah melakukan kerja dengan cemerlang dan saya berjaya mengejarnya pusingan demi pusingan. Saya mengekori Fernando (Alonso) pada akhir perlumbaan.

"Saya memberikan ruang agak luas pada sebelah kiri dan saya tersentuh bebendul jalan...saya gagal menang. Bagaimanapun, saya gembira kerana prestasi kereta terus bertambah baik. Pasukan ini memang hebat," kata Perez.

Pemenang musim pembukaan Jenson Button tidak memenangi sebarang mata pada perlumbaan hari ini selepas berlanggar dengan Narain Karthikeyan dari pasukan
HRT F1 Team dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.

Sementara pemandu pasukan Lotus F1 Team dan juara dunia 2007, Kimi Raikkonen mencatatkan masa pusingan terpantas dengan 1:40.722s pada pusingan 53. - Bernama
Tag :

Budak patah tangan terkena bola rembatan Rooney

on Sunday, 25 March 2012

LONDON - Penyerang Manchester United, Wayne Rooney memohon maaf kepada seorang kanak-kanak, Jamie Thomas yang patah pergelangan tangan akibat terkena bola rembatannya ketika pemain itu memanaskan badan sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris di Wolverhampton Wanderers, Ahad lalu.

Thomas, yang berasal dari Wem, Shorpshire, berada di Molineux untuk menyaksikan pasukan kesayangannya, United buat kali pertama.

Malangnya, belum sempat menyaksikan perlawanan tersebut, dia mengalami kecederaan apabila mengangkat tangannya untuk menepis bola sesat rembatan bintang England itu yang terbang ke arahnya.

"Saya meminta maaf kepada Jamie Thomas. Saya telah menyediakan satu surat dan sehelai jersi yang saya tandatangani untuk dihantar kepada alamat rumahnya," tulis Rooney dalam akaun Twitter kelmarin.

Bapa kanak-kanak tersebut, Andy berkata insiden yang menimpa anaknya berlaku ketika pemain United sedang memanaskan padang.

"Ketika itu Rooney dan (Javier) Hernandez melakukan beberapa sepakan.

"Tanpa diduga sepakan Rooney tersasar dan bola tepat menghala ke arah Jamie. Dia bertindak balas dengan mengangkat tangan untuk menepis bola daripada mengenainya dan akibatnya, pergelangan tangannya patah."

Thomas menerima rawatan daripada pasukan bantuan kecemasan sebelum dihantar ke hospital.

Rooney berkata, dia tidak tahu insiden terbabit ketika itu.

- Utusan Malaysia Online
Tag :

Button, Hamilton kekal rentak

MCLAREN meneruskan rentak cemerlang dalam perlumbaan Formula Satu (F1) 2012.

Buat kali kedua berturut-turut, McLaren berjaya mendominasi dua petak hadapan pada sesi kelayakan.

Selepas bermula cemerlang di Melbourne minggu lalu, kedua- dua pemandu McLaren, Lewis Hamilton dan Jenson Button mencatat masa terpantas di Litar Sepang semalam.

Hamilton mengulangi pencapaian pada Grand Prix (GP) Austra- lia apabila mencatat masa 1 minit 36.219 saat pada sesi kelayakan ketiga (Q3), manakala Button ketinggalan 0.149.


Pemandu Britain tersebut yang gembira dengan kejayaan kedua itu mengakui, dia masih perlu berwaspada dengan cabaran daripada Mercedes dan Red Bull Racing pada perlumbaan hari ini.

“Saya turun pada sesi kelayakan masa ini tanpa sebarang tekanan tetapi lebih memberi tumpuan kepada konsistensi jentera di sini.

“Sangat penting untuk bermula di petak hadapan esok (hari ini) kerana saingan pasti sukar, ter- utamanya daripada Mercedes dan Red Bull. Kami akan buat sehabis baik untuk mencatat kejayaan kedua,” jelas Hamilton pada sidang media semalam.

Michael Schumacher pula mempamerkan aksi terbaiknya dalam kelayakan masa setakat ini dengan merekodkan masa ketiga terpantas buat Mercedes (1:36.- 391s), hanya 0.172s di belakang Hamilton.

“Sejujurnya, cukup bagus apabila memenangi petak ketiga pada perlumbaan esok. Hari ini saya gembira dengan prestasi jentera dan ia satu usaha yang baik dari- pada para jurutera kami.

“Saya harap konsistensi enjin ini akan berterusan pada saingan esok (hari ini). Sekiranya ia dapat bertahan, saya rasa situasi mungkin akan berubah esok,” kata Schumacher.

Mark Webber pula akan bermula di petak keempat buat Red Bull hari ini, mengatasi Kimi Raikkonen yang akan dikenakan penalti lima petak ke belakang kerana mengganti kotak gear jente- ranya.

Juara dunia 2010 dan 2011, Sebastian Vettel pula yang membuat keputusan untuk menggunakan tayar keras akan bermula di petak keenam buat Red Bull.

Buat kali kedua berturut-turut, pemandu Ferrari, Felipe Massa gagal mara ke sesi Q3 kerana ha- nya mampu mencatat masa ke-12 terpantas pada sesi Q2.

Seorang lagi pemandu Ferrari, Fernando Alonso yang juga juara dunia dua kali, bermula di petak kesembilan setelah mencatat masa 1:37.566s, 1.3 saat di belakang Hamilton. - Kosmo! Online
Tag :

Arsenal mahu kekal No. 3

on Saturday, 24 March 2012

LONDON - Arsenal berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga Liga Perdana England dengan menewaskan Aston Villa malam ini.

Skuad bimbingan Arsene Wenger itu menjadi pilihan untuk berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik musim ini se- lepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Everton awal pagi kelmarin.

Arsenal berjaya memintas kedudukan Tottenham Hotspur di tangga ketiga sele- pas skuad bimbingan Harry Redknapp itu seri 1-1 dengan Stoke City di White Hart Lane.


Menjelang aksi di Stadium Emirates malam ini, Arsenal dijangka tidak berdepan masalah besar untuk membenam cabaran Villa yang kini menduduki tangga ke-15.

Menyedari peluang Arsenal mengekalkan kedudukan di tangga ketiga semakin cerah, tonggak pertahanan, Laurent Koscielny berharap rakan-rakan sepasukannya menampilkan rentak bertenaga ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri nanti.

"Kemenangan ke atas Everton adalah se- suatu yang baik tetapi apa yang lebih penting, perlawanan menentang Aston Villa," kata Koscielny.

"Sekiranya kami menang, ia sangat baik buat kami. Kami mahu mempertahankan kedudukan ini (di tangga ketiga) dan penting untuk kami bermain dengan baik.

"Ia tidak hanya bergantung kepada empat pemain pertahanan. Semua pemain perlu bekerja keras dan kami perlu melakukan serangan bersama.

Kejayaan ke atas Everton adalah kemenangan keenam berturut-turut buat Arsenal dalam kempen liga, selain skuad The Gunners itu tidak bolos sejak awal Februari lalu.

"Kami melalui tempoh yang sukar sebelum ini tetapi kami memiliki ramai pemain yang hebat dan sebuah pasukan yang baik.

"Bola sepak berubah dengan pantas dan dalam tempoh tiga atau empat minggu, kami perlu meneruskan rentak kemenangan.

"Kami perlu mengekalkan situasi itu dan apa yang lebih penting, memastikan kami kekal dalam kelompok empat pasukan terbaik," jelas Koscielny. - AFP
Tag :

Vettel tidak sabar

on Friday, 23 March 2012

JUARA dunia dua kali, Sebastian Vettel sudah tidak sabar untuk menebus kekalahannya dalam Grand Prix (GP) Australia minggu lalu apabila turun beraksi pada pusingan kedua perlumbaan kereta Formula Satu (F1) GP Malaysia di Litar Sepang, Ahad ini.


Vettel, juara dunia 2010 dan 2011, terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas ketinggalan di belakang pemandu McLaren, Jenson Button di Albert Park minggu lepas.

Pemandu Red Bull dari Britain itu kini bersedia untuk menghalang kemaraan McLaren yang menunjukkan prestasi yang baik pada awal saingan musim ini dan Litar Sepang akan menjadi gelanggang terbaik buatnya untuk merealisasikan misi tersebut.

“Sebenarnya, kedudukan di tempat kedua di Melbourne minggu lepas saya kira sudah cukup memuaskan. Memang tiada siapa yang mahu menduduki tempat kedua tetapi berdasarkan situasi kami pada awal musim ini, saya rasa ia sudah cukup bagus,” kata Vettel.

“Saya gembira kerana dapat kembali beraksi di Malaysia. Saya sudah biasa dengan keadaan litarnya (Litar Sepang), seronok dengan cuaca yang mencabar di sini dan sudah tentu saya tidak sabar lagi untuk menguji kemampuan saya di sini.


“Selepas perlumbaan di GP Australia, kami seperti mendapat suntikan semangat dan motivasi baharu pada saingan kedua kali ini. Kami akan melakukan apa sahaja untuk menghalang McLaren daripada mencatat kejayaan kedua di Sepang," jelasnya lagi.

Pemandu berusia 25 tahun itu bagaimanapun menjelaskan, misi di Sepang kali ini mungkin agak sukar kerana tiada perubahan dilakukan terhadap jentera yang digunakan ketika perlumbaan di GP Australia minggu lepas.

“GP Australia adalah langkah yang bagus untuk melihat sejauh mana tahap kompetitif yang ada pada jentera masing-masing tetapi di Litar Sepang, ia satu perlumbaan yang berbeza di atas gelanggang yang berbeza.

“Suhu di permukaan litar ini adalah yang tertinggi sekali dalam F1 dan saya ingin melihat bagaimana jentera kami memberi respons di atas litar yang mencabar ini.

“Namun, tugas saya di sini mungkin agak sukar kerana menggunakan jentera yang sama ketika di Melbourne. Tiada perubahan dan peningkatan dibuat terhadap jentera kerana amat mustahil untuk meningkatkan tahap prestasi jentera dalam masa sehari semalam.

“Apa yang saya boleh buat ialah menaruh keyakinan terhadap potensi jentera saya dan cuba memandu sebaik mungkin untuk menyaingi kepantasan McLaren dan pasukan lain seperti Ferrari,” tambahnya. - Kosmo! Online
Tag :

'Muamba tidak bernyawa selama 78 minit'

on Thursday, 22 March 2012

PEMAIN tengah Bolton, Fabrice Muamba 'tidak bernyawa' selama 78 minit selepas rebah di padang ketika perlawanan menentang Tottenham pada Sabtu lalu, dedah doktor kelab Bolton, Jonathan Tobin semalam.


Sehubungan itu katanya, terlalu awal untuk mengandaikan bahawa Muamba akan terus bermain.

Bagaimanapun Dr Tobin berkata, beliau sangat kagum dengan tahap pemulihan yang dipamerkan oleh pemain berusia 23 tahun itu.

Dalam temu bual emosional disiarkan oleh BBC, Dr Tobin berkata:

"Kami telah menjangkakan keadaan sangat buruk dan tidak menjangkakan bahawa kami akan melihat (dia) pulih sebagaimana kita lihat sekarang. Ia sungguh menakjubkan."

Laporan lewat kelmarin menyebut Muamba sudah melepasi keadaan kritikal tetapi masih serius.

Muamba berhadapan dengan serangan jantung ketika perlawanan suku akhir menentang Tottenham di White Hart Lane, Sabtu lalu.

Dr Tobin memberitahu BBC Sport bahawa fisioterapis Bolton, Andy Mitchell adalah orang yang pertama menyedari insiden Muamba rebah di padang.

Kata Dr Tobin: "Dia menjerit, agar datang ke kawasan padang. Sangat jelas ada sesuatu yang berlaku."

Jantung pemain itu tidak berdenyut dan dia tidak boleh bernafas selama 78 minit.

"(Dia tidak bernafas) selama 48 minit selepas dia pengsan dan tiba di hospital dan 30 minit lagi.

"Dia, sebenarnya, sudah mati ketika itu," katanya lagi.


Dr Tobin memberitahu, hanya selepas pegawai perubatan di London Chest Hospital mengambil alih, keadaan mula berubah.

Katanya: "Saya pergi ke kawasan koridor dan menangis."

"Ini Fabrice, bukan seseorang yang jatuh di jalan. Saya tahu dia, tahu keluarganya, bergurau dengan dia setiap hari," katanya lagi. - Sinar Harian
Tag :
 
Copyright © 2012 Realiti Fantasi | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO