M. Nasir cipta kejutan

on Friday, 23 March 2012

SABTU lalu, berlangsung sudah konsert minggu pertama program realiti hiburan Mania.

Empat penyanyi yang bertanding pada malam itu iaitu Stacy, kumpulan Estranged, Atilia dan Akim AF7 sudah mengetahui di bawah empayar komposer manakah mereka masing-masing akan bernaung.

Kini, cuma tinggal lapan penyanyi iaitu Adira, Awi Rafael, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Hafiz AF7, Alyah, kumpulan Kristal dan Hazama AF9 yang belum mengetahui mereka di bawah bimbingan komposer yang mana satu.

Ternyata pelbagai kejutan yang dibuat oleh ketiga-tiga pemilik empayar Mania iaitu Datuk M. Nasir, Aubrey Suwito dan Ahmad Dhani dalam membuat pemilihan penyanyi-penyanyi yang akan dibimbing oleh mereka.

Sangat bertentangan dengan genre muzik lazim M. Nasir, 54, ternyata pemilihan Stacy AF6 sebagai salah seorang daripada lima penyanyi di bawah empayarnya mencipta kejutan buat peminat.

Penyanyi dan komposer hebat itu turut mencipta kejutan apabila dilihat memberi reaksi terkejut menerima bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima, Ebi Kornelis yang terpilih daripada tiga senarai Hot Seat program Mania.


Ternyata, penerimaan komposer hebat itu untuk berusaha membentuk Ebi untuk turut merebut peluang menjadi juara Mania dengan gelaran Super Star Malaysia membuatkan penyanyi kelahiran Sabah itu melutut kegembiraan di atas pentas Mania.

Ditemui usai konsert minggu pertama di Studio 1, Astro, Kuala Lumpur baru-baru ini, M. Nasir memberitahu dia memilih Stacy kerana potensi luar biasa yang dimiliki penyanyi itu.



Yakin potensi juara AF6 itu boleh diperhebatkan lagi, M. Nasir turut memuji Stacy memiliki kesungguhan dan komitmen ketika mengadakan persembahan.

“Saya tertarik dengan kegigihan, disiplin dan komitmennya ketika mengadakan sesebuah persembahan. Dia sentiasa bersedia dalam setiap persembahannya,” ujarnya.

Ditanya mengenai genre pop dance yang dibawa Stacy bertentangan dengan genre lazim yang sering dihasilkannya, ungkap M. Nasir, Stacy tidak akan selama-lamanya membawakan muzik genre pop dance.


Sebaliknya, kata M. Nasir, dia akan memberikan lagu-lagu genre lain yang bersesuaian dengan kemampuan vokal hebat Stacy untuk dipersembahkan sepanjang Mania berlangsung.

Mengulas mengenai format Hot Seat, ujar M. Nasir, ia merupakan satu cabaran yang harus diterimanya.

Format Hot Seat telah menetapkan bahawa ketiga-tiga M. Nasir, Dhani dan Aubrey tidak diberi hak untuk memilih, sebaliknya masing-masing perlu menerima penyanyi tertentu yang diberikan oleh penerbit untuk dibimbing bagi merebut gelaran Super Star Malaysia.

Tambahnya: “Ia merupakan format yang telah ditetapkan Astro selaku penerbit Mania. Saya sahut cabaran membimbing Ebi. Dari segi vokal, ia masih boleh diperbaiki. Sebaliknya, aspek persembahan dan persembahan Ebi di atas pentas masih banyak memerlukan bimbingan.”

Dhani dianggap tamak


Baru sahaja konsert pertama Mania berlangsung, komposer dan vokalis terkenal kumpulan Dewa, Ahmad Dhani, 40, sudah mendahului M. Nasir dan Aubrey dari segi bilangan penyanyi yang bernaung di bawah empayar masing-masing.

Dhani sudah memilih tiga penyanyi berbanding M. Nasir hanya seorang (Stacy, Ebi pula terpilih menerusi Hot Seat), manakala Aubrey masih belum mempunyai sebarang penyanyi di bawah empayarnya.

Ahmad Dhani memilih penyanyi Atilia, Akim dan Estranged di bawah empayarnya atas faktor kepelbagaian genre yang dimiliki ketiga-tiga artis tersebut.

“Saya mencari elemen variasi untuk penyanyi yang akan dibimbing. Mereka telah mencukupi senarai penyanyi solo wanita, lelaki dan berkumpulan di bawah empayar saya,” ujarnya yang dianggap tamak oleh Aubrey secara bergurau kerana memilih tiga penyanyi sekali gus di bawah empayarnya.

Mengulas mengenai pemilihan Atilia yang dikenali sebagai penyanyi gemar membawakan lagu-lagu genre jazz, ujar Dhani yang masih mempunyai dua kekosongan penyanyi di bawah empayarnya, dia sudah lama tidak terlibat dalam pembikinan muzik jazz dan R&B.

“Inilah masa buat saya untuk berkecimpung semula dalam genre jazz dan R&B. “Saya dulu pernah hasilkan muzik jazz untuk penyanyi Reza pada tahun 1997.

“Malah, sehingga saat ini saya masih mempunyai banyak lagi lagu genre jazz dan R&B yang masih tersimpan. Disebabkan itu saya memilih Atilia,” tuturnya yang terpaksa berulang-alik dari Indonesia ke Malaysia setiap minggu untuk menjayakan Mania.

Berbeza dengan Ahmad Dhani dan M. Nasir yang sudah membuat keputusan memilih penyanyi di bawah empayar masing-masing, Aubrey pula dilihat lebih bersikap selektif dan masih tidak menentukan penyanyi mana yang akan dibimbingnya.

Menjawab mengenai perkara itu, komposer lagu Gemilang nyanyian Jaclyn Victor itu memberitahu tidak bersikap selektif sebaliknya mengakui kurang pantas memilih berbanding Ahmad Dhani dan M. Nasir.

“Saya memang suka dengan semua persembahan pada malam ini. Semua penyanyi menunjukkan kesungguhan dan bakat masing-masing. Bukan saya tidak mahu buat pemilihan tetapi Ahmad Dhani dan M. Nasir memilih dengan lebih pantas.

“Pemilihan penyanyi juga bukan dibuat secara berebut sebaliknya berlangsung dalam satu perbincangan. Jadi, saya cuma bersikap tolak ansur,” ujarnya tersenyum. - Kosmo! Online
Ranking: 5

Perhatian!

farishishak.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui ruangan komen di bawah mahupun komen melalui laman sosial facebook. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Artikel ini bermanfaat? Silakan SHARE. :)

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
Copyright © 2012 Realiti Fantasi | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO