Aeril pakai celak mata

on Friday, 23 March 2012

TERKEJUT sebenarnya apabila Kosmo! disapa hero filem 7 Petala Cinta, Aeril Zafrel sewaktu majlis pelancaran dan doa selamat filem

99 Kali Rindu dan Kita di Wisma Metrowealth, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mengejutkan apabila dia tampil bercelak mata gelap dan berkopiah. Mungkin itu sebahagian daripada promosi atau ingin mengambil aura sempena penggambaran filem baharu yang bergenre Islamik tidak lama nanti?


Menjawab dan menerangkan situasi sebenar yang berlaku, pelakon muda itu punyai konklusinya sendiri.

Kosmo!: Gimik atau benar ini penampilan Aeril yang terkini?

AERIL:

Saya memang suka bercelak (mata). Dari dulu lagi pun, cuma saya akan pakai celak apabila menghadiri majlis-majlis tertentu terutamanya majlis keagamaan. Bercelak itu sunnah Nabi Muhammad SAW, jadi tidak salah saya rasa. Ini bukan gimik atau usaha untuk menyerap aura untuk berlakon dalam filem akan datang, ini memang diri saya yang sebenar.


Lebih tepat lagi sejak bila Aeril mula bercelak?

Sekitar tempoh setahun lalu. Tapi tidak sekerap sekarang. Lagipun saya dibimbing oleh seorang ustaz yang tinggal berdekatan dengan rumah.

Bermakna Aeril kini sedang mendalami ilmu agama?

Saya akui itu yang sedang saya lakukan. Tapi untuk mencari diri saya yang sebenar dan memperbetulkan kekhilafan lampau, bukan untuk tujuan perubatan.


Sekerap mana Aeril berjumpa dengan pengamal ilmu agama itu?

Ikut kelapangan. Kadang-kadang seminggu dua tiga kali. Biasanya setiap kali berjumpa akan mengambil tempoh yang panjang. Kadang-kadang dari pukul 12 tengah malam hingga subuh.

Setakat ini apa impak yang Aeril telah lalui sepanjang mendalami ilmu-ilmu keagamaan?

Saya selalu bermimpi tentang kedua-dua ibu bapa saya yang telah kembali ke rahmatullah setahun lalu. Saya rasa lebih tenang sekarang. Biasanya kalau saya melakukan kesilapan, mereka (ibu bapa) akan datang dalam mimpi saya dan menasihatkan saya ke arah jalan yang betul.


Langkah yang diambil oleh Aeril ibarat satu tanda untuk anda meninggalkan bidang seni atau lebih tepat bidang lakonan. Komen Aeril?

Tidak tepat sama sekali. Berlakon merupakan punca rezeki saya, mana mungkin untuk saya berundur. Tak pernah terfikir pun.

Kenapa sekarang baru berani tampil dengan imej bercelak sedangkan anda sendiri menyatakan bahawa ini diri anda?

Saya seorang yang pemalu. Kalau dulu saya takut orang mengata. Sekarang saya sudah ada semula keyakinan dalam hati.

Mungkin melalui penampilan begini Aeril akan lebih dicop pelakon Islamik. Apa pandangan Aeril?

Saya tidak pernah mengehadkan genre lakonan saya. Saya lebih sukakan variasi dalam lakonan. Tak kisah sekiranya saya dilabelkan sebagai pelakon Islamik sebab jika itu andaian orang bermakna saya berjaya mencorakkan watak saya.

99 Kali Rindu merupakan filem kedua lakonan Aeril untuk watak warak, bagaimana usaha anda untuk mendalami watak kali ini?

Filem ini menceritakan perjalanan hidup Attar lakonan saya yang berhijrah ke sebuah madrasah agama selepas kematian isterinya. Usaha saya untuk mendalami watak kali ini adalah saya lebih kerap menonton ceramah agama dalam YouTube selain selalu menghadiri tazkirah di surau dan masjid.

Bagaimana sambutan terhadap filem 7 Petala Cinta?

Alhamdulillah, banyak maklum balas positif daripada peminat. Tapi kita tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi memandangkan kita sendiri faham genre romantik Islamik sukar menarik penonton masuk panggung. Setakat ini jumlah kutipan mencecah RM600,000. - Kosmo! Online
Ranking: 5

Perhatian!

farishishak.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui ruangan komen di bawah mahupun komen melalui laman sosial facebook. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Artikel ini bermanfaat? Silakan SHARE. :)

{ 1 comments... read them below or add one }

  1. post yg menarik :)

    p/s: knp tak letak image di post RakanBlog .. sila betulkan semula ye.. thanks

    ReplyDelete

 
Copyright © 2012 Realiti Fantasi | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO