‘Saya mungkin terkena buatan orang’

on Friday, 23 March 2012

TIDAK cukup kisah cintanya dengan pelakon Miera Liyana yang dijaja ramai, pelakon kacak Shahrizal Jaszle nampaknya menjadi buah mulut orang sekali lagi kerana ada masalah ‘attitude’ dan disiplin hingga menyusahkan ramai produksi drama di luar sana.

Semuanya kerana hero filem Azura ini dikatakan ada masalah insomnia dan tidak boleh bangun pagi.

Ia terbukti apabila Shahrizal juga adalah pelakon yang paling lewat tiba ketika sesi ramah mesra drama bersiri sebanyak 13 episod untuk slot Lestary TV3, 3 Janji arahan Heykal Hanifah yang berlangsung di Sri Pentas, baru-baru ini.

Sedangkan semua pelakon lain iaitu heroin drama itu, Liyana Jasmay, Shah Iskandar, Ainina Ahmad B, Putri Mardiana sekali gus pengarahnya Heykal sudah tiba lebih awal seperti dijadualkan walaupun berkejar dari lokasi penggambaran.

Justeru, kelibat Shahrizal yang muncul pada saat akhir terus menjadi tumpuan pihak media tempatan yang membuat liputan. Bertalu-talu pelakon ini diasak pertanyaan hingga memaksa dia bersuara untuk mempertahankan dirinya.


“Saya mengaku memang ada masalah untuk bangun pagi dan tidak boleh tidur malam, sejak kebelakangan ini. Saya minta maaf jika saya menyusahkan ramai pihak.

“Saya sudah cuba mengambil pil untuk membantu saya tidur yang diperkenalkan kakak, tapi saya pula tidur selama dua hari dan kakak saya pun tak berani nak beri makan pil itu lagi. Saya cuba guna jam loceng untuk bangun pagi, tapi masih tidak membantu masalah dihadapi,” katanya.

Lebih memburukkan lagi keadaan, kata Shahrizal, dia juga terpaksa menjaga bapanya yang berusia 71 tahun juga sakit dan uzur di rumah.

“Baru-baru ini bapa saya terjatuh di rumah dan situasi itu memburukkan lagi tahap kesihatannya. Emak saya pula kini berada di rumah kakak di Lumut, Perak. Saya sedang mencari pengurus baru untuk membantu menyusun aktiviti seni saya ketika ini.

“Apapun, saya berjanji untuk mengatasi masalah bangun pagi yang dihadapi ini dengan segera untuk kebaikan semua pihak. Saya juga pernah dimasukkan ke hospital kerana dikatakan ada jangkitan kuman pada buah pinggang, tapi selepas doktor membuat pemeriksaan, buah pinggang saya okay. Saya juga percaya mungkin saya sakit kerana terkena buatan orang,”


Walaupun dihimpit pelbagai kontroversi, Shahrizal sangat bersyukur kerana Heykal masih memberi kepercayaan padanya untuk melakonkan watak utama dalam drama itu bergandingan dengan Liyana.

“Saya memang rapat dengan Heykal kerana kami banyak bekerjasama dalam drama arahannya sebelum ini. Saya juga sudah tahu cara dia bekerja kerana ia kali ketiga kami bekerjasama dalam drama iaitu Asmara, Asmara 2, Hani dan terbaru 3 Janji.

“Saya juga selesa bekerja dengan Heykal kerana dia tahu kelemahan dan kekurangan saya. Keadaan itu memudahkan kami bekerjasama dalam banyak drama sebelum ini,” katanya.

Berkongsi cerita peribadinya pula, kata Shahrizal, dia juga belum bertemu pengganti kekasih hatinya pelakon Miera Liyana.

“Kami masih berhubung tetapi hanya sebagai kawan dan tak lebih dari itu. Saya juga tiada teman wanita baru selepas putus dengannya.

“Buat masa ini, Heykal juga minta saya jangan bercinta dulu atau dikaitkan dengan mana-mana teman wanita kerana dia ingin saya fokus pada karier seni terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu Heykal pula berkata, dia mengakui mengambil risiko mengambil Shahrizal sebagai pelakon dalam drama 3 Janji itu.

“Saya juga dapat tahu ada produksi yang takut mengambil dia berlakon kerana dikatakan sebagai pelakon bermasalah. Namun, sepanjang saya bekerja dengannya dalam empat drama, Shah tidak pernah timbulkan masalah sebab saya masih boleh mengawalnya lagi.

“Bagi memastikan dia datang awal ke lokasi, saya pastikan seorang kaki tangan produksi ikut sekali menemaninya di rumah.

Setakat ini, Shah juga beri kerjasama yang baik sepanjang penggambaran drama ini dan ia juga berjalan lancar seperti direncanakan,” katanya.

“Terus terang, saya lihat Shah calon tepat pegang watak utama dalam drama 3 Janji. Sebelum menawarkannya watak itu, kami juga sudah berbincang dan dia berjanji tidak akan menimbulkan masalah sepanjang penggambaran drama ini.

“Ia juga kali pertama saya bekerja dengan Liyana dan dia cepat serasi dengan Shah walaupun kali pertama bergandingan dalam drama,” katanya. - myMetro
Ranking: 5

Perhatian!

farishishak.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui ruangan komen di bawah mahupun komen melalui laman sosial facebook. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Artikel ini bermanfaat? Silakan SHARE. :)

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
Copyright © 2012 Realiti Fantasi | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO