SEPADAN...Liyana dan Fathuddin ketika bergambar di pelamin bentuk ‘gazebo’ selepas majlis pertunangan mereka. |
TIADA hadiah hari lahir yang paling bermakna buat penyanyi dan pelakon popular Liyana Jasmay selain mengakhiri kisah cinta hampir tiga bulan dengan ikatan pertunangan bersama jejaka pilihan hatinya yang juga ahli perniagaan (pembangunan bangunan), Fathuddin Mazlan, tanggal 28 Mac lalu.
Majlis pertunangan seiring dengan sambutan hari lahir Liyana yang ke-24 yang bertemakan persandingan dalam taman, berlangsung secara sederhana tapi meriah dihadiri hampir 200 keluarga terdekat kedua-dua belah pihak di kediaman keluarganya di Tropika Kemensah, Hulu Klang. Pada malam yang cukup bermakna itu, Liyana selamat bergelar tunangan kepada jirannya itu.
Hanya kebahagiaan yang terpancar pada wajah Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 dan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22 kerana meraikan sambutan berganda iaitu majlis hari jadi dan mengikat tali pertunangan sekali gus.
Pada malam itu, anak bongsu daripada empat beradik, pasangan Habsah Simpon dan Jasmay Shah ini nampak menawan dengan busana rona krim berharga RM10,000 dan Fathuddin, 28, pula kelihatan segak berbaju Melayu rona sepadan. Kedua-dua baju itu rekaan pereka terkenal Rizman Ruzaini dan Liyana di tatarias jurusolek terkenal, Tiar Zainal.
Pihak lelaki yang memilih tema rona kelabu menyerahkan lima dulang hantaran berupa sebentuk cincin pertunangan jenama (Bvlgari), sirih junjung, telekung, set wangian dan kek.
Manakala, pihak perempuan yang bertemakan rona merah jambu membalas dengan tujuh dulang, kain songket, butang baju Melayu, minyak wangi Dunhill, senaskhah al-Quran, kek, kek cawan dan manisan Macarons.
Tidak lengkap, majlis pertunangan itu tanpa disemarakkan dengan kehadiran barisan artis terkenal yang juga rakan baik Liyana iaitu Lisa Surihani dan suami Yusry Abd Halim, Awal Ashaari, Scha Al-Yahya, Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Tam Suhaimi, Marsha Londoh dan Farish.
Ketika ditemui selepas majlis selesai, Liyana berkata, dia sangat bersyukur kerana majlis yang direncanakan ibu bapa dan keluarga Fathuddin berjalan lancar.
“Insya-Allah, tiada apa lagi yang diharapkan dan semoga kebahagiaan akan terus berpanjangan sehinggalah kami menjadi suami isteri apabila diijabkabulkan tanggal 24 Januari 2013 dan semoga bahagia ke akhir hayat.
“Istimewanya Fathuddin ialah dia terlalu istimewa di mata ini. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Mungkin terlalu ‘klise’ jika mahu dirungkaikan satu persatu. Tetapi apa yang boleh dikatakan, dia menerima saya seadanya dan paling utama, dia menyayangi ibu bapa saya,” katanya.
Mengimbas detik perkenalan, kata Liyana, mereka mula berhubung melalui telefon sebelum sambutan Tahun Baru lalu selepas diperkenalkan melalui kawan.
“Fathuddin memulakan langkah dengan menghantar pesanan SMS berbunyi, ‘hai jiran’. Mesej pertamanya itu agak comel dan saya sendiri tersenyum saat membacanya. Daripada situ, kami kerap bermesej hinggalah pada pertemuan sulung kami awal Januari dan seterusnya bibit-bibit cinta semakin mekar,” katanya.
Secara peribadi, Liyana mengakui dia sudah bersedia untuk bergelar isteri kepada Fathudin pada usia yang muda.
“Insya-Allah, saya sudah bersedia untuk melalui fasa baru dalam kehidupan ini.
Doakan yang terbaik buat kami. Selepas berumah tangga kelak, saya akan terus terbabit dalam bidang seni. Fathuddin sendiri memahami dan tahu betapa besarnya cinta saya pada dunia seni. Saya bersyukur kerana dia memahami dan tidak menghalang minat saya.
“Dari segi impian perkahwinan pula ialah seiring dengan peningkatan usia, saya cuma harapkan perkahwinan yang penuh dengan rasa cinta serta kasih sayang,” katanya.
Bagi Fathuddin pula, hatinya terbuka untuk menerima Liyana kerana tertarik dengan personaliti dan karakter yang ada pada artis popular itu.
“Sepanjang kenal dengannya, Liyana seorang yang ceria, manja dan dia buat hidup saya gembira. Saya tahu dia artis popular dan pernah menonton filem lakonannya Papadom. Sebagai bakal suami sudah pasti saya sentiasa menyokong minatnya dalam bidang seni walaupun selepas kami berkahwin kelak,” katanya.
Ditanya sama ada tidak bimbang dengan hubungan jarak jauh kerana bakal isterinya itu akan menyambung pengajian selama enam bulan dalam bidang pengarahan dan lakonan di New York Academy pada Julai nanti.
“Saya memang menyokong minatnya nak sambung belajar dalam jurusan diminatinya itu. Saya tidak risau untuk melepaskannya ke negara orang kerana Liyana akan ditemani ibunya sepanjang di sana. Insya-Allah bila ada kelapangan nanti, pasti saya akan terbang ke New York untuk melihat keadaannya di sana,” katanya.
Liyana lancar muzik video Cinta Bersatu
MENELITI bait lirik single terbaru Liyana Jasmay, Cinta Bersatu ciptaan kumpulan Tilu ini ternyata tepat sekali menggambarkan kebahagiaan yang mekar berbunga dengan Fathuddin, ketika ini.
Tiada lagi nota berbunyi seperti judul single sulungnya, Aku Tak Percaya Cinta kerana saat ini kedua-duanya sudah dilamun asmara bak single keduanya, Aku Jatuh Cinta.
Mengulas lanjut mengenai pembikinan muzik video itu, kata Liyana, sebelum merakamkan lagu Cinta Bersatu, dia terlebih dulu mendendangkan lagu berkenaan di depan tunangnya itu.
“Saya mahu mendengar pandangannya pada lagu Cinta Bersatu. Jadi dialah orang pertama yang mendengar lagu itu secara eksklusif dan syukur dia menyukainya,” katanya.
Pemilik syarikat produksi, Mermaid Studios ini juga akan melancarkan video muzik lagu Cinta Bersatu yang mendapat sentuhan Ghaz Abu Bakar jam 10 pagi ini (30 Mac) serentak membabitkan laman sesawang stesen radio Hot FM, Suria FM, XFM dan web gossip mossip Mak Jemah.
Selain itu, lagu yang dijadikan tema telefilem Paris Masuk Kampung ini akan dilancarkan di portal hiburan popular Gua.com, Murai.com, selain blog Budiey.com, program bual bicara Malaysia Hari Ini (TV3), tayangan perdana di Astro Ria dan TV1. - myMetro
Perhatian!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment