Mengikat kontrak selama setahun di bawah KRU Music pada bulan Januari lalu, peminat-peminat Jac bakal mendengar lagu-lagu ciptaannya selepas ini.
“Sewaktu dengan syarikat rakaman dulu, saya agak terhad untuk menyuarakan idea dan pendapat. Lagipun, saya tak berani mahu bersuara sebab saya masih belajar lagi.
“Bagi saya, banyak lagi yang saya boleh buat, tapi semuanya tak kesampaian. Kini, kebarangkalian peminat dapat mendengar lagu ciptaan saya kerana KRU memberi peluang tersebut kepada saya. Tapi, jujur saya tidak pandai menulis lirik,” ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! di Studio Utusan, Kuala Lumpur, Isnin lepas.
Yakin dengan kemampuan KRU Music yang terbukti mempunyai empayar yang cukup kuat, Jac juga mengambil langkah berani mencuba pelbagai genre muzik yang ditawarkan pihak KRU Music untuk dirinya.
Single pertamanya dengan KRU Music berjudul Sebelah Jiwaku ciptaan Edry Abdul Halim menjadi bukti bahawa lagu tersebut begitu berbeza dengan lagu yang pernah dibawa Jac sebelum ini.
“Sebelah Jiwaku merupakan lagu yang lain daripada yang lain. Ia merupakan sesuatu yang baharu buat saya.
“Asalnya lagu ini ada dua versi iaitu balada dan rancak, tetapi saya lebih suka yang berentak rancak. Lagu ini menceritakan tentang perhubungan antara manusia tidak kira pasangan kekasih atau kawan baik.
“Ia lagu semangat tentang seseorang yang bangkit walaupun ditinggalkan. Saya yakin orang di luar sana juga boleh terima lagu ini,” ujarnya yang akan muncul dengan single kedua berjudul Jagalah Diri yang merupakan lagu tema filem terbitan KRU, 29 Februari.
Jelas Jac, pihak KRU Music juga sedang merancang untuk menerbitkan sebuah album penuh Jac pada bulan April depan. Antara lagu yang akan dimuatkan termasuklah Sebelah Jiwaku, Jagalah Diri dan sebuah lagu Inggeris untuk filem animasi 3D Ribbit.
Ada kata-kata orang yang menganggap lagu ciptaan KRU mudah dikenal pasti apabila didengar tidak kira siapa penyanyi yang membawa lagu mereka.
Menolak tanggapan tersebut, ungkap Jac, bila orang dengar lagu Sebelah Jiwaku mereka tidak akan samakan ia dengan lagu ciptaan KRU yang lain kerana muziknya rancak dan bertenaga.
Jac juga tidak menyangka rangka jadualnya selama setahun telah disusun pihak KRU biarpun dia baru sahaja menandatangani kontrak di bawah syarikat tersebut.
Jac berang
Beralih kepada isu Jac yang dikatakan memperlekehkan penyanyi lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latiff ketika pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL 26).
Biarpun ia sudah berlalu hampir dua bulan lamanya tetapi isu tersebut masih belum lagi reda. Masih ada lagi suara-suara nakal yang memperkatakan tentang hal itu dan ia membuatkan Jac berang.
Walaupun sudah memberi kenyataan balas berhubung perkara tersebut, nampaknya ada lagi pihak yang tidak berpuas hati dengan Jac.
“Saya pelik kenapa isu ini ditanyakan kepada saya sahaja tetapi tidak pada Najwa juga. Saya tidak tahu kenapa isu kononnya saya merendah-rendahkan Najwa untuk menjatuhkan semangatnya sebelum beraksi di AJL 26 boleh timbul. Sedangkan saya tidak pernah bertembung dengannya langsung di belakang pentas AJL 26.
“Saya perlu fokus dua lagu iaitu Sedetik Lebih dan Beribu Sesalan pada malam AJL 26 itu. Selepas saya menyanyikan lagu Sedetik Lebih saya terus pergi ke bilik hos AJL 26, Faizal Ismail dan Cheryl Samad kerana mahu membuat persiapan untuk lagu Beribu Sesalan pula.
“Saya pergi ke bilik mereka kerana pereka saya ada di sana. Tak ada masa saya nak pergi belakang pentas untuk mengacau dia (Najwa),” ujarnya yang kesal dengan isu yang tiada kesudahan itu.
Terang Jac serius, secara logiknya bagaimana dia boleh bertembung dengan Najwa kerana giliran persembahan mereka adalah jauh. Jac juga menolak tanggapan bahawa dirinya kini semakin besar kepala.
“Saya harap orang tak menganggap saya sudah besar kepala. Saya tak perlu merendah-rendah atau mempersendakan orang lain walaupun dia penyanyi baharu,” ujarnya yang memohon agar Najwa turut membuka mulut memberi kenyataan berhubung isu tersebut agar ia tidak lagi diperkatakan.
M. Nasir atau Aubrey?
Bercerita tentang pembabitannya selaku peserta program realiti nyanyian, Mania pula, Jac memberitahu, dia tidak kisah sama ada dipilih oleh komposer Datuk M. Nasir atau Aubrey Suwito memandangkan Ahmad Dhani sudah mencukupi kuota untuk memilih penyanyi.
Malah, dia juga tidak terlalu memikirkan kemenangan kerana dia faham format Mania adalah menerusi 100 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Saya tidak mahu fikirkan soal menang, kalah, mahupun sejauh mana saya dapat bertahan dalam program itu.
“Ia bergantung kepada undian peminat dan rezeki. Apa yang lebih bernilai adalah peluang untuk bekerja dan menimba pengalaman daripada komposer-komposer hebat tersebut. Satu peluang untuk saya terus menimba pengalaman dan pembelajaran,” ujarnya optimis.
Sudah hampir enam tahun mengikat tali pertunangan dengan jejaka Inggeris bernama Chris Bellamy, Jac disoal bila masanya menuju ke gerbang perkahwinan.
“Buat masa ini belum ada lagi perancangan ke arah itu (kahwin). Sebabnya, dia mempunyai perniagaan di London dan kami jarang berjumpa. Cuma sekadar berkomunikasi menerusi ‘Skyppe’.
“Memang dia berniat untuk duduk di Malaysia pada tahun 2007 tetapi disebabkan rusuhan yang berlaku ketika itu dan juga memikirkan tentang keluarganya yang tinggal bersama dia membatalkan niat tersebut,” ulasnya.
Ditanya mengenai perasaannya apabila berjauhan dengan tunangnya. Jac menjawab: “Susah memang sangat susah.” - Kosmo! Online
Perhatian!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment