Dibelasah, dipukul dan ditendang menjadi makanannya jika dia tidak mengikut kata kawan rapatnya untuk melayani nafsu lelaki yang melanggannya.
Tambah gadis muda berusia 20 tahun itu, dia tidak pernah menyangka kawan rapat yang dikenalinya sejak di bangku sekolah itu bertindak untuk melacurkan dirinya.
“Ibu tidak mengesyaki apa-apa kerana rakan perempuan memberitahu untuk membawa saya ke Melaka atas tujuan bekerja.
“Tanpa curiga dan percaya kepada rakan, saya ikut juga dia untuk bekerja sementara. Dia janjikan saya untuk bekerja di restoran makanan segera.
“Namun apabila sampai di sana, baru tahu yang dia sebenarnya menipu. Kerja yang dijanjikan tiada malah saya disuruh melacurkan diri.
“Saya dibawa tinggal bersama rakan dan suaminya. Apabila rakan pergi bekerja, suami dia menjaga saya dan memantau agar tidak boleh lari.
“Pernah suaminya menendang saya di pinggang dan dibelasah rakan menggunakan kabel televisyen di kaki serta tangan kerana tidak mahu bekerja.
“Disebabkan takut, saya paksa diri untuk terus bekerja kerana tidak mahu mereka membelasah saya lagi,” katanya yang bersyukur kerana berjaya melepaskan diri daripada kurungan rakan berhati binatang itu.
AMY..terlalu percaya dengan rakan sehingga dipaksa melacur. |
Jelas Amy lagi, biarpun kini dirinya sudah berjaya melarikan diri, namun kesengsaraan yang ditanggung masih diingati.
“Mana mungkin saya lupakan. Bayangkan satu hari saya perlu melayan lima lelaki sekali gus kerana dipaksa dan takut dipukul jika tidak bersama mereka.
“Dalam masa seminggu, hampir 20 lelaki pelbagai latar belakang saya layan sepanjang dikurung di rumah rakan. Tetapi, saya beranikan diri meminta bantuan daripada rakan lain yang juga bekerja sebagai pelacur.
“Saya minta rakan itu laporkan pada polis. Dia juga bersimpati pada nasib saya kerana tahu ia bukan atas kehendak sendiri. Lagipun rakan kasihan melihat saya diseksa jika tidak mahu bekerja.
“Rakan saya itu berjaya membuat laporan polis kerana dia tinggal di tempat berlainan. Pergerakannya juga tidak terbatas kerana tiada pengawasan ketat.
“Selepas rakan membuat laporan, saya berjaya diselamatkan pihak polis. Memang tidak pernah terfikir saya terpaksa menempuh seksaan sebegitu. Selepas itu, baru ibu tahu yang saya ditipu dan dilacurkan oleh kawan baik anaknya sendiri,” katanya yang begitu menyesal kerana mempercayai rakan rapatnya.
Kini dia akui, tidak akan mudah percaya lagi dengan ajakan rakan dan memastikan dia sentiasa duduk dekat dengan ibunya selepas kejadian yang memusnahkan maruah hidupnya itu walaupun hanya berlaku dalam tempoh masa seminggu.
Kisah Amy ini adalah antara cerita yang dikongsi oleh beberapa mangsa wanita yang kini mendapat perlindungan di Rumah Perlindungan Wanita di Kuala Lumpur.
Penghuni ini mendapat penjagaan, perlindungan dan pemulihan sebagai mangsa jenayah pemerdagangan orang. Pemerdagangan orang membawa maksud merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang bagi maksud eksploitasi.
Modus operandi yang dikesan termasuk penggunaan ancaman atau bentuk tekanan lain, penculikan, penipuan, kecurangan, penyalahgunaan kuasa, kedudukan berisiko atau rawan dan memberi atau menerima pembayaran.
Berbeza dengan kisah yang dikongsi oleh wanita berusia 35 tahun ini yang berasal dari Sumatera, Indonesia kerana dia masih kurang jelas dengan tindakannya memperdagangkan anak sendiri. Hakikatnya, dia tidak berniat untuk menjual anaknya itu.
Atas desakan hidup ditambah sumber kewangan yang tidak mencukupi, dia menyerahkan bayi yang baru dilahirkan kepada keluarga angkat dengan harapan kehidupannya kelak lebih sempurna.
Apatah lagi anak yang dikandung juga bukan daripada hubungan yang sah, justeru dia terpaksa mengambil keputusan sedemikian.
Kisahnya bermula apabila Nira (bukan nama sebenar) datang ke negara ini untuk mendapatkan pekerjaan pada 2009 kerana di kampung halamannya sukar mencari kerja ditambah dengan kehidupan yang serba kekurangan.
Selepas berjaya mendapat pekerjaan di restoran di ibu kota, dia terleka dengan hubungan bersama teman lelakinya menyebabkan dia mengandung.
“Saya bukan jual anak tetapi beri kepada orang lain supaya dijaga dengan lebih baik kerana saya tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk memeliharanya.
“Lagipun saya mempunyai dua anak kandung untuk dibiayai di Indonesia. Selepas rakan memberitahu dia ada mengenali keluarga yang memang inginkan anak, saya mula berfikir untuk beri kepada mereka untuk menjaga bayi saya dengan baik.
“Ketika hampir bersalin, keluarga itu ada memberikan wang untuk kos perbelanjaan saya melahirkan anak sebanyak RM2,000.
“Duit yang diberi bukan bayaran anak tetapi hanya untuk kos perbelanjaan bersalin kerana saya tidak fikir untuk menjual bayi kepada orang lain.
“Selepas saya bersalin, bayi ditinggalkan di hospital dan keluarga angkat berkenaan mengambilnya,” katanya yang mengambil keputusan selepas teman lelakinya pulang ke Indonesia meninggalkan dia keseorangan dengan kandungan yang semakin sarat.
Biarpun sudah hampir lebih setahun kisah itu berlalu, sedikit sebanyak ia memberi kesedaran kepada dirinya kerana balasan yang diterima ditambah dengan kerinduan yang menebal terhadap dua lagi anaknya yang kini berada di Indonesia.
Impian untuk mendapatkan pekerjaan secara sah di luar negara menyebabkan wanita dari Filipina ini nekad mendapatkan khidmat agensi tanpa tahu latar belakang mereka yang sebenar.
AMIHAN..teruja dengan tawaran kerja di negara lain. |
Amihan (bukan nama sebenar) mendapatkan khidmat agensi pekerjaan dari Singapura. Selepas sekian lama berusaha, akhirnya ia membuahkan hasil apabila dia dipanggil untuk bekerja sebagai pelayan restoran di negara berkenaan.
Namun setelah sampai ke negara itu, selama tiga hari dia tidak diberikan sebarang pekerjaan dan tanpa menunggu lagi, Amihan segera bertanya kepada majikannya.
Selepas itu, majikannya menghantar dia ke Johor Bahru kerana mengatakan di situ ada kawan yang dikenali untuk mengambil Amihan sebagai pekerja.
Namun, apabila tiba di tempat yang diberitahu, dia terkejut kerana bukan pekerjaan yang dijanjikan.
“Saya dijanjikan dengan pekerjaan sebagai pelayan restoran. Tetapi apabila tiba di situ saya disuruh bekerja di pusat hiburan.
“Saya cuba mempertahankan diri namun apa yang saya dapat hanyalah paksaan untuk bekerja di situ. Segala maklumat peribadi seperti pasport juga dipegang oleh majikan baru.
“Jadi, saya tidak boleh ke mana-mana. Jika saya inginkan kembali semua maklumat peribadi, saya harus membayar mereka sebanyak RM5,500.
“Mana mungkin saya ada wang sebanyak itu dan saya terpaksa teruskan juga bekerja di pusat hiburan terbabit. Gaji yang diperoleh itu ditolak jumlah wang yang perlu saya bayar untuk mendapatkan semula pasport.
“Ia ditambah dengan duit sewa setiap bulan. Apabila saya tidak lagi dapat bertahan, saya cuba untuk telefon pihak kedutaan.
“Namun, apabila majikan dapat tahu saya menelefon pihak kedutaan, telefon saya pula diambil. Tetapi saya rasa gembira sebab saya berjaya diselamatkan oleh pihak polis dan kini hampir enam bulan saya berada di Malaysia,” katanya yang menyesal kerana terlalu mempercayai agensi pekerjaan tanpa menyelidik terlebih dulu. - myMetro
Perhatian!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment