Ella Seronok Menghadiri Kursus Kahwin

on Saturday, 17 March 2012

RASANYA tidak puas duduk bersembang dengan si pemilik tawa manja ini setiap kali bertemu. Ada saja yang ingin dikongsikan, tidak henti pula bicara disusun. Namun itulah ratu rock negara, Ella yang dikenali.

Personalitinya jelas mengundang senyum kepada sesiapa yang memerhati. Belum lagi setiap persoalan peribadi yang ditanya ditepis perlahan-lahan hingga ada kalanya sukar untuk ditanya semula.

Sedar dirinya menjadi perhatian media kerana kononnya bakal menamatkan zaman bujang selepas wajahnya dikesan menghadiri kursus kahwin awal bulan lalu, lekas penyanyi terkenal kelahiran Pulau Mutiara ini memasang strategi mengelak daripada menjawab.

Bagaimanapun, selepas lebih seminggu dirinya diburu bagi menjelaskan spekulasi yang belum reda diperkatakan, peluang bertemu dengannya pada majlis sidang media memperkenalkan peserta Mentor musim keenam, petang Selasa lalu sememangnya memberi laluan mudah mendekatinya.

Meskipun awal pertemuan si empunya vokal memukau ini sudah mengingatkan agar tiada persoalan peribadi ditanya, namun hatinya tidaklah sekeras batu. Jika betul caranya dan gaya mendekati, Ella tidak selamanya mengunci bibir.



Jelasnya yang menyifatkan spekulasi kononnya dia akan berkahwin adalah sesuatu yang mengundang tawa buatnya dan keluarga. Bukan sengaja menyusun silang kata atau mempermainkan sesiapa, tambah Ella lagi, lebih tiga dekad berdiri sebagai anak seni sudah cukup mematangkannya dan mengajar apa yang manis dan mana pula yang pahit.

“Saya bukan lari atau mengelak, sebaliknya belum bersedia. Saya cukup bimbang jika tidak dapat memenuhi permintaan orang termasuklah pihak media yang inginkan kepastian. Namun apa yang mampu saya lakukan kerana semuanya belum pasti dan saya tidak mahu terburu-buru hingga akhirnya nanti akan membuatkan saya kecewa.

“Cukup jika saya katakan spekulasi yang tersebar itu adalah satu khabar angin dan andaian. Saya tidak mahu mengiyakan kerana segala-galanya belum pasti atau menafikannya kerana enggan dituduh berbohong.

"Lagipun saya memang mengikut sunah Nabi yang hanya berkongsi soal perkahwinan apabila sudah dekat dengan tarikhnya nanti.


“Apa pun saya akan tampil berkongsi saat bahagia itu bersama peminat jika tiba masanya nanti. Insya-Allah perkara baik tidak perlu disembunyikan,” katanya tersenyum.

Tambah Ella, gosip kononnya dia bercinta dengan seorang juruterbang adalah satu andaian semata-mata.

“Macam-macam yang saya dengar. Ada kata juruterbang, ada kata pemuzik saya sendiri namun semua itu hanyalah satu gosip yang sudah lali saya telan sejak berpuluh tahun menjadi selebriti. Lumrah dan asam garam buat saya mendengar pelbagai spekulasi yang ada kalanya memang tidak masuk akal.


“Apa yang boleh saya katakan, semuanya belum sedia buat saya ceritakan di sini.
Tunggu dan lihat saja,” ujarnya.

Mengakui dirinya sedang mengenali hati budi seseorang, bagaimanapun Ella enggan bercerita lanjut kerana semuanya masih pada fasa permulaan.

“Saya memang selesa berkawan dengan sesiapa saja. Malah ramai teman-teman dan keluarga sendiri tahu akan sikap saya yang mudah berkawan dengan sesiapa.
Bukankah lebih baik jika kita punya ramai kenalan?

“Namun jika ditanya mengenai teman istimewa atau kekasih, saya lebih selesa untuk meletakkan perkara itu di belakang soal kerjaya kerana apa yang penting adalah perjalanan kerjaya yang kian lancar ketika ini. Saya ingin meletak sepenuh fokus kepada pembikinan album yang akan dipasarkan dalam tahun ini, selain perancangan konsert dan persembahan buat peminat.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu menafikan yang saya ada berkawan dengan seseorang. Namun semuanya masih di peringkat yang belum mampu saya kongsi di sini.

“Jika ada rezeki dan kesempatan, akan saya perkenalkan nanti. Doakan saja yang baik buat saya,” katanya lagi.

Bercerita mengenai pengalaman pertamanya menghadiri kursus kahwin pada awal Mac lalu, penyanyi yang pernah mencetuskan fenomena dengan lagu Sembilu, Gemilang dan Dua Insan Bercinta ini hanya tersenyum mencerminkan perasaan gembiranya.

Menyifatkan pengalaman pertama itu sebagai sesuatu yang cukup indah dan membuka perspektif baru buatnya, Ella yang kini berusia 46 tahun seronok kerana akhirnya berpeluang mencuri masa bagi mengikuti sesi penerangan persediaan perkahwinan itu.

“Memang saya ada menghadiri kursus nikah namun tidak semestinya saya ingin berkahwin. Kursus itu adalah satu kelas yang menerangkan pelbagai persediaan, tanggungjawab dan komitmen buat mereka yang ingin mendirikan rumah tangga.
Namun ada juga anak dara dan golongan remaja yang turut sama ingin menambah ilmu.

“Saya begitu seronok sepanjang dua hari mengikuti kursus kahwin itu kerana setidak-tidaknya jika ada rezeki dan jodoh yang menerpa, saya sudah tahu adab dan persediaan seseorang yang ingin berkahwin.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan ilmu yang diterima dan pastinya saya juga menanti jika benar akan ada jodoh buat saya nanti,” katanya berseloroh.


Belum sempat persoalan mengenai rasa sunyi dan kosong kerana masih belum mengikat status berkahwin, penyanyi yang terkenal dengan sikap rendah diri dan peramah itu menerpa: “Saya tidak pernah sunyi kerana setiap saat kehidupan saya penuh warna dan kasih sayang!”

“Saya punya keluarga, adik-beradik dan teman rapat yang tidak henti memberi sokongan. Mereka adalah insan paling istimewa dalam hidup saya kerana sentiasa membuatkan saya ketawa dan menemani saya baik dalam duka dan gembira.

“Alhamdulillah saya dikurniakan mereka yang tidak jemu menyayangi dan sentiasa berdiri bersama saya. Lantas soal sunyi atau berasa diri kosong tidak pernah terlintas,” katanya.

Menyentuh soal kerjaya dan percaturan masa depannya, penyanyi yang tidak lekang mengukir senyum ini begitu bersemangat berkongsi cerita.

Dalam diam, Ella bersama adik-beradiknya yang lain sibuk menyusun strategi dalam mengusahakan perniagaan.

"Alhamdulillah rezeki saya dalam lapangan seni berpanjangan. Dapat juga saya membantu keluarga dan memberikan senyuman kepada ibu yang selama ini berkorban untuk kejayaan saya.

"Namun dengan rezeki dan kesempatan yang ada ini, saya bersama keluarga ingin menggunakan peluang yang ada bagi menjalankan perniagaan pula.

"Saya akan melancarkan produk pakaian dan kasut di bawah label Ella serta hijabberjenama The Yang's Hijab by Ella.

"Insya-Allah Mei depan, saya akan memperkenalkan produk ini kepada umum," katanya yang sudah pun merancang untuk membuka butik di Shah Alam.


Ella dibantu dua kakaknya, Jojie dan jurumekap terkenal, Saidatulnisa.

Ranking: 5

Perhatian!

farishishak.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui ruangan komen di bawah mahupun komen melalui laman sosial facebook. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Artikel ini bermanfaat? Silakan SHARE. :)

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
Copyright © 2012 Realiti Fantasi | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO