AWAS amukan Korea Selatan. Itu perkataan paling tepat menggambarkan situasi perlawanan membabitkan skuad negara dengan lawan yang menduduki ranking keenam dunia itu pada perlawanan keempat kempen kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Ireland hari ini.
Apa tidaknya, ketika skuad negara selesa meraih sembilan mata penuh selepas tiga perlawanan, Korea yang menjadi pasukan pilihan utama pada kempen kelayakan kali ini, terpaksa berpuas hati apabila diikat tuan rumah 1-1 semalam sekali gus meletakkan mereka di kedudukan ketiga di belakang Ireland, ketinggalan dua mata berbanding skuad negara yang menduduki tangga teratas.
Situasi itu pasti mengancam peluang mereka untuk menempah tiket ke saingan final dan pertemuan menentang skuad negara cukup genting bagi mereka untuk mencatat kemenangan.
Namun di sebalik keghairahan Korea untuk membenam Malaysia, ketua jurulatihnya, Shin Seok Kyo sedar anak buahnya bakal berdepan kesukaran sambil mengakui skuad negara dilengkapi dengan beberapa pemain berbahaya.
“Tidak dinafikan pasukan anda sangat kuat dan mempunyai skil individu yang tinggi serta sangat pantas ketika melakukan serangan balas.
“Pemain seperti nombor 7 (Fitri Saari), nombor 10 (Faizal Saari) serta Amin (Muhamad Amin Rahim) sangat berbahaya kepada kami. Saya sering menyaksikan pasukan anda beraksi dan mereka adalah antara kunci utama kekuatan Malaysia. “Nombor 10 begitu pantas sementara Amin sememangnya seorang pemain yang sangat berpengalaman dan cukup sempurna melakukan pukulan sudut penalti. Apapun, kami akan cuba melakukan yang terbaik,” katanya.
Untuk menghadapi kempen kelayakan kali ini, Korea cukup terdesak membina pasukan sehingga terpaksa memanggil semula beberapa pemain lama bagi memperkuatkan pasukan, antaranya Yeo Woon Kon yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Sydney 12 tahun lalu.
Mengulas mengenai perlawanan dengan Malaysia, Woon Kon tanpa berselindung senada dengan jurulatihnya dengan menyatakan skuad negara adalah pasukan yang bagus dan mempamerkan peningkatan sejak kebelakangan ini.
Perhatian!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment