Aeril Zafrel tinggal zaman hitam

on Sunday, 18 March 2012

PENAMPILAN pelakon muda Suhairil Sunari, 23, tampak biasa. Pencapaiannya belum dipuji atas pentas anugerah namun bakat yang disemai mulai menunjukkan impak. Pesonanya sedang menebar dan hasil daripada kerja kerasnya sedang dijaja ke serata daerah.

Aku Tak Bodoh membawa Suhairil ke layar perak. Anak muda yang kini dikenali dengan nama Aeril Zafrel itu mara tanpa setitik ilmu lakonan secara formal. Puas dia melentur karakter sebagai budak sekolah menerusi drama Klik yang disiarkan saluran Astro Ceria. Sisi anak jantan yang ada dalam dirinya mula menyerlah melalui drama yang disiarkan pada waktu puncak. Drama bersiri Ramadan Terakhir pada tahun lepas dan Pelarian yang ditayangkan Februari lalu menjadi antara rujukan hasil lakonannya yang dominan di kaca televisyen.

Selang tidak sampai sebulan selepas gandingan bersama pelakon hebat, Tiz Zaqyah dalam Cinta Kura-Kura pada 1 Mac lalu, kini filem 7 Petala Cinta pula mula berpanggung. Mula ditayangkan pada 15 Mac, 7 Petala Cinta menukar 100 peratus sifat lahiriah yang dipersembahkan Aeril dalam naskhah terdahulu.

"Ini pertama kali sebenarnya saya diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah untuk bawa watak orang dewasa. Selama ini asyik dapat watak budak sekolah macam dalam Aku Tak Bodoh dan remaja dalam Cinta Kura-Kura.

"Saya kagum sebenarnya apabila pengarah, Azhari Zain berani pilih saya," katanya yang secara peribadi merasakan 7 Petala Cinta sangat dekat dengan hidupnya.

Melihat garis wajahnya, pemuda yang membesar dalam persekitaran kampung satu ketika dulu sudah jauh keluar daripada kepompong hidupnya.

Ketika di bangku sekolah, Pekan Rengit, Johor merupakan pekan terbesar yang pernah dijejakinya manakala kebun nanas dan kelapa sawit yang diusahakan keluarga menjadi tempat bermain. Kini, kota metropolitan Kuala Lumpur sedia dijajah, seluruh negara mula intim dengan namanya.

"Sewaktu ibu dan ayah saya masih hidup, rasanya mereka gembira bila saya jadi pelakon. Mereka ada beli majalah dan simpan keratan artikel dan gambar saya yang tersiar.

"Mereka sempat berpesan, bila sudah masuk industri hiburan satu sahaja perkara utama yang harus kena selalu tanam dalam fikiran ialah jaga tingkah laku. Dalam industri ini, kalau tersalah langkah orang akan kata ibu bapa tak pandai didik anak. Itu yang paling saya ingat," kata Aeril terkenang arwah ibu bapanya yang telah tiada.

Transformasi diri


Terpesong daripada topik karier, sengaja pemuda berbintang Sagittarius itu diselam akal budinya.

"Saya anggap lakonan sebagai proses mengenal diri. Filem itu sendiri buka hati saya untuk mengenal cinta kepada agama dengan lebih dekat. Sebelum itu saya juga jenis manusia yang lalai.


"Watak Attar atau nama penuhnya Ahmad Fakharuddin Attar itu bermaksud wangian jiwa. Saya sendiri ada buat kajian. Untuk kenal dan dapatkan emosi, saya lihat sendiri suasana dan kehidupan di sekolah-sekolah pondok sekitar Selangor. Bila ia divisualkan dalam filem, memang situasi itu wujud di Malaysia, cuma jarang diterjemahkan dalam filem," ujarnya mengulas skeptikal bahawa 7 Petala Cinta itu mencedok idea filem keagamaan dari Indonesia.

Tambahnya, penonton kadangkala terpengaruh dengan budaya filem dari luar.

"Bagi saya, kalaulah ada persamaan dari segi konsep, tak salah sebab ia untuk kebaikan. Kalau dalam nyanyian ada konsep lagu-lagu nasyid, filem juga wajar ada konsep sebegitu, lagipun, ramai artis yang sudah berhijrah ke arah yang lebih baik," katanya.

Terpanggil untuk bercerita, jika boleh dia enggan menoleh ke belakang. Setiap orang ada zaman jahil, zaman hitam yang kalau dikenangkan akan mengganggu tumpuan. Kata Aeril, dia sendiri ada kisah negatif.

"Orang mungkin lihat saya masih Aeril Zafrel yang lama. Biarlah, saya selesa begini tapi dari segi dalaman, secara perlahan-lahan saya sedang mencari arah yang lebih baik.

"Saya tidak tersinggung jika masih ada kenalan yang melihat saya sama seperti yang mereka kenali beberapa tahun dahulu. Dulu saya nakal, saya baru hendak kenal dunia, baru datang ke bandar dan ada buat benda-benda negatif. Setelah kedua-dua ibu bapa saya meninggal dunia, saya terfikir sampai bila saya mahu terus lalai. Siapa lagi yang harus mendoakan ibu bapa kalau bukan anaknya sendiri," ujarnya yang baru-baru ini kembali mendalami ajaran Islam.


Jalan terang


Secara ringkasnya, 7 Petala Cinta mengisahkan Attar yang dilakonkan Aeril Zafrel yang jahil bertemu dengan seorang guru di Madrasah Qalbun Salim iaitu Aby Ikhwan (Ustaz Dini) untuk belajar mengenai Islam.

Dalam diam, Attar menyimpan perasaan terhadap Saidatul Nafisa (Shima Anuar) namun dia reda apabila Saidatul sudah bertunang dengan Hamka (Fizo Omar). Tanpa diduga, Hamka diberitakan meninggal dunia.

Menoleh semula ke arah Aku Tak Bodoh, dia menjadi budak sekolah yang nakal, Cinta Kura-Kura yang meletakkan Aeril sebagai pemuzik yang jatuh cinta dengan Nani (Tiz Zaqyah) manakala 7 Petala Cinta menuntutnya menjiwai Attar, penjenayah yang sempat bertaubat ke jalan yang benar. Jika terus mengekalkan momentum yang dipersembahkan, Aeril ada masa depan yang cerah dalam bidang lakonan.

"Alhamdulillah. Saya cuma berusaha berikan yang terbaik. Cuba pastikan setiap lontaran dialog yang disampaikan, dapat meresap ke jiwa penonton. Tunggulah sedikit masa lagi. Saya juga mahu bergelar pelakon yang disegani kerana lakonan.

"Sekarang, saya kena kerja keras, elakkan diri daripada melakukan perkara yang menjatuhkan. Bukan senang untuk dikenali dan bukan senang juga untuk membuatkan khalayak sedar akan kehadiran saya. Jadi artis kadang-kadang buat diri rasa 'terpenjara', tapi bagusnya ia bukanlah penjara yang gelap," ujar Aeril sudah pandai berfalsafah.


Mengosongkan jadual tanpa komitmen lakonan sehingga ada tawaran mendatang, untuk jangka masa panjang pemilik nama Suhairil Sunari percaya jalan hidupnya sebagai pelakon semakin menampakkan hala tuju. Jika benar sudah ada jatuh cinta dengan persembahannya, tinggal lagi 'pantang-larang' untuk kekal bertamu di mata ramai harus dijaga sebaik mungkin.

Ranking: 5

Perhatian!

farishishak.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui ruangan komen di bawah mahupun komen melalui laman sosial facebook. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Artikel ini bermanfaat? Silakan SHARE. :)

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
Copyright © 2012 Realiti Fantasi | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO