Dunia seni tanah air dilihat semakin berseri apabila bahan bacaan seperti novel semakin mendapat perhatian dan mencetuskan fenomena dalam kalangan penggemarnya. Malah karya-karya yang diilhamkan oleh penulis novel juga mula menjadi perhatian pengarah tempatan untuk diangkat menjadi drama serta filem mereka.
Tidak terkecuali bagi penulis ini, karyanya yang berjudul, Bicara Hati juga pernah diadaptasikan menjadi sebuah drama yang disiarkan di saluran Astro. Nyata kehadiran penulis novel memeriahkan dunia seni hiburan tanah air.
Kembali dengan karya terbarunya, Ingin Berkasih Lagi, novelis terkenal ini mengharapkan karyanya kali ini mendapat sambutan baik dalam kalangan pencinta novel.
Baru sahaja diterbitkan 20 Mac lalu, novel terbitan Alaf 21, Grup Buku Kumpulan Karangkraf ini mempunyai 640 halaman bercetak dengan harga RM25.
Berkongsi pengalaman mengenai karya terbarunya itu, Intan Suhana Ramli atau nama penanya, Damya Hanna berkata, novel kelapannya itu, antara yang paling mencabar untuk dihasilkan.
“Agak sukar menyiapkan novel ini berbanding novel yang lain. Saya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk menghasilkannya. Selain sukar membahagikan masa antara pelajaran dan penulisan novel, komitmen yang diberikan juga kurang berbanding dalam penghasilan novel sebelum ini.
“Bahkan saya terpaksa berhadapan dengan masalah kesihatan bapa yang memerlukan lebih perhatian daripada saya dan adik-beradik lain,” ujarnya ramah.
Jelasnya, walaupun cabarannya agak besar, namun agak mudah baginya merangka penulisan novel ini.
“Sebelum ini kebanyakan karya saya hanya difikirkan di dalam kepala sahaja, berlainan dengan Ingin Berkasih Lagi, saya mampu merangka setiap bab yang ada di dalamnya,” katanya yang telah berkecimpung dalam bidang penulisan sejak di bangku sekolah lagi.
Pun begitu, bagi Damya, kehadiran Ingin Berkasih Lagi diharapkan dapat mengubat rindu peminatnya, sementelah hampir tiga tahun penulisannya tidak diterbitkan.
“Novel terakhir saya diterbitkan pada 2009, selepas itu saya mula memberikan tumpuan kepada pelajaran. Bagaimanapun, saya cuba sedaya upaya untuk menghasilkan novel ini. Akhirnya, ia siap juga walaupun memakan masa yang agak lama,” katanya.
Adik sumber inspirasi
Bercerita mengenai ideanya untuk menghasilkan novel ini, jujur Damya mengakui adiknya, Maslia Azura, banyak memberikan bantuan.
“Alhamdulillah, adik antara sumber sumber inspirasi saya. Menerusi novel ini, ideanya saya guna pakai. Kemudian, barulah saya kembangkan dan cantikkan jalan ceritanya.
“Selain pemerhatian yang dilakukan terhadap masyarakat sekeliling, saya turut menggarapnya menerusi penceritaan rakan-rakan dan apa yang dilalui sendiri dalam kehidupan seharian,” katanya.
Ditanya mengenai pemilihan judul, Damya menjelaskan sebelum ini pihak Alaf 21 pernah memberikan tajuk Berani Bercinta Lagi. Namun dia merasakan tajuk itu kurang sesuai dengan novelnya itu.
“Kemudian saya memilih Ingin Berkasih Lagi, memandangkan banyak novel saya menggunakan istilah hati dan cinta, saya menukarkan perkataan cinta tersebut kepada kasih,” ujarnya yang pernah juga terlintas untuk menggunakan judul, Sepenuh Kasih, untuk novel itu.
Bila cinta putus di tengah jalan
Ingin Berkasih Lagi berkisarkan seorang gadis, Isyatul yang pernah bercinta dan putus di tengah jalan. Baginya, bukan mudah untuk menyerahkan hati kepada mana-mana lelaki lagi.
Prinsip, tidak mahu jatuh cinta membuatkan kehidupan yang dilalui teruji dengan kehadiran seorang lelaki. Hatinya tercuit dengan kemunculan Amrin. Kerana kesungguhan cintanya, Amrin melamar Isyatul. Bagaimanapun lamarannya ditolak oleh orang tua Isyatul. Persoalan demi persoalan terbuku di hati Isyatul kerana kecewa dengan tindakan keluarganya.
Pun begitu, hatinya terusik lagi dengan kehadiran Najwan. Sikap dan tutur bicara lelaki itu mencuit jiwanya. Dia ingin bercinta lagi. Namun, sejarah cinta lalu menyekatnya daripada menerima hati lelaki itu. Takut pisang berbuah dua kali. Apatah lagi, rahsia yang disembunyikan oleh ayahnya masih belum terungkai.
Bagaimanakah agaknya perjalanan cinta Isyatul kali ini? Semuanya dapat dirungkai menerusi Ingin Berkasih Lagi.
- Sinar Harian
Perhatian!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment