BARU pertama kali datang ke Malaysia tapi sudah berani buat hal? Itu tanggapan pertama pihak media apabila terpaksa menunggu beberapa jam untuk menemu- ramah tujuh anak muda Indonesia yang menggelarkan diri mereka Smash iaitu singkatan daripada ‘Seven Men As Seven Heroes’.
Prasangka buruk itu akhirnya lenyap tatkala pihak perhubungan awam Warner Music yang menguruskan promosi dan persembahan mereka di Malaysia memberi perkhabaran bahawa ketujuh-tujuh anak muda yang membawakan muzik pop dance ini dilanda virus demam, selesema dan batuk sejurus menjejakkan kaki ke Malaysia.
Mereka khabarnya terpaksa dibawa ke klinik dengan segera.
Ternyata demam yang belum sepenuhnya kebah bukan penghalang kepada Morgan Oey, Rangga Dewamoela Soekarta, Rafael, Dicky Muhammad Prasetya, Reza Anugrah, Muhammad Ilham Fauzi dan Bisma Karisma mengadakan persembahan bertenaga pada 17 Mac lalu di Pusat Beli-Belah Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.
Membawakan lima buah lagu termasuk lagu popular mereka I Heart You, biarpun kemunculan Smash di atas pentas hanya pada pukul 3 petang, namun peminat-peminat mereka sudah berkumpul dan membanjiri pusat beli-belah tersebut seawal pukul 11 pagi lagi.
Menyingkap sisi sebenar kumpulan ini, Smash merupakan kumpulan pertama di Indonesia yang membawakan muzik pop dance yang kini begitu popular di Korea (K-Pop), Jepun (J-Pop) dan serantau Asia. Kini, sudah banyak kumpulan yang membawakan genre muzik sedemikian yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di Indonesia.
Sejak mula ditubuhkan pada 10 April 2010, Smash berjaya menawan hati peminat-peminat di Indonesia sehingga meraih pengiktirafan 1 Million Award bersempena dengan jumlah jualan album mereka yang mencecah 1 juta unit dalam tempoh enam bulan.
Walaupun baru dua tahun berada dalam industri hiburan, kumpulan ini sudah meraih empat anugerah pada Inbox Award 2011 dengan memenangi Anugerah Pendatang Baharu Paling Inbox, Boyband Paling Inbox, Penampilan Paling Inbox dan Lagu Paling Inbox (I Heart You).
Album pertama mereka, Smash yang mengandungi 10 buah lagu itu turut memuatkan empat lagu yang mendapat sentuhan daripada komposer terkenal Malaysia, Audi Mok iaitu Senyum Semangat, Ahh, Akhiri Saja dan Selalu Bersama.
Berkongsi pengalaman mereka sepanjang bergelar anak seni, salah seorang anggota Smash iaitu Reza, 17, mendedahkan, pernah terjadi satu insiden mereka dicakar dan dicium peminat ketika menjayakan persembahan di Medan, Indonesia.
“Ada peminat yang begitu fanatik memeluk, mencium dan mencakar kami. Memang pada mulanya kami rasa kaget (terkejut) dengan tindakan mereka tetapi ia sudah menjadi kebiasaan setiap kali kami menyanyi,” ujarnya dalam ketawa.
Tambahnya, bukan itu sahaja pernah juga terjadi insiden peminat bergaduh dan pengsan ketika mereka baru selesai menyanyikan lagu pertama.
Ujar pula anggota paling tua dalam Smash, Rafael, 25, ada juga pengalaman manis ketika mereka mengadakan persembahan di Bali, Indonesia.
Peminat di sana dikatakan sanggup menonton persembahan mereka dalam keadaan hujan lebat sambil membawa kek menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi sempena ulang tahun penubuhan kumpulan tersebut.
Ditebak soalan adakah terdapat peminat yang membenci dengan muzik pop yang dibawa mereka, menurut Rangga pula, tidak semua yang suka dengan muzik yang dibawa mereka.
“Ada juga yang kata kami ini perasan seperti K-Pop tetapi kami akan pastikan untuk buat berbeda (berbeza) dengan K-Pop. Mungkin imej kami lebih kurang sama dengan anggota K-Pop kerana kami kumpulan yang menyanyikan lagu pop serta menari dan inspirasi kami juga daripada band popular seperti Super Junior, 2PM dan Michael Jackson.
“Tetapi tidak bermakna yang kami tidak mempunyai identiti sendiri. Kami berasal dari Indonesia, menyanyi dalam bahasa Indonesia cuma rentak sahaja pop yang kebetulan menjadi trend masa kini. Kalau di Korea sudah punyai K-Pop, mengapa di Indonesia tidak boleh ada I-Pop,” tuturnya mengenai Smash yang bakal muncul dengan album kedua sekitar bulan Jun ini.
- Kosmo! Online
Perhatian!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment