IMEJ sebagai gangster atau penyangak bagi Shaheizy Sam di layar perak cukup sinonim untuk diperkatakan. Evolusi KL Drift 2 dan Kongsi antara lakonan Sam yang menonjolkan dirinya sebagai seorang gangster.
Mungkin dalam pelbagai watak yang pernah dipegangnya, gangster lebih meninggalkan impak sehingga sekali lagi Sam ditawarkan membintangi filem baru, Kisah Paling Gangster arahan Brando Lee.
Masih diberi kepercayaan membawa peranan utama, Sam bergandingan pula dengan bakat baru yang semakin meningkat populariti, Wawa Zainal.
Filem terbitan B & L Kreatif ini menampilkan genre aksi mengisahkan Remy Asmara lakonan Sam yang terjebak dalam aktiviti kongsi gelap.
Sam ketika ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem ini di pejabat MIG, Petaling Jaya, baru-baru ini berkata watak baru yang bakal dilakonkannya kali ini memberi tarikan berbeza sehingga dianggap paling menarik setakat ini.
“Dari aspek pembangunan karakter itu sendiri peranan saya ada lapisan corak hidup untuk ditunjukkan. Filem ini adalah kisah hidupnya melalui bermacam cabaran. Ia bukan sebarangan gangster.
“Berbanding Evolusi KL Drift 2 dan Kongsi, wataknya hanya ada satu lapisan cerita dan tujuan. Sebaliknya kali ini, saya perlu bermain dengan banyak emosi dan fizikal.
“Watak ini seolah digambarkan ketika dia menyelamatkan nyawa, dia juga sanggup mengambil nyawa orang lain. Saya sendiri seronok apabila berpeluang melakukan babak lagak ngeri sendiri,” katanya turut menantikan filem aksi baru, 8 Jam terbitan MIG.
Masih di peringkat praproduksi, Sam berpandangan Brando lebih memahami penceritaan yang mahu disampaikan. Merujuk sesi pembacaan skrip dijalankan sebelum ini, Sam menyukai perkembangan watak yang dibuat secara mendalam.
“Saya rasa dia seorang pengarah yang bagus berdasarkan skrip tetapi teknikal belum tahu. Sebagai pelakon, saya suka membawakan watak gangster tapi ia bergantung kepada watak yang ditawarkan.
“Seperti filem ini, saya melihat aksi gangster yang ditunjukkan lebih asli ditambah aksi pergaduhan jalanan,” katanya terpaksa menolak 10 tawaran berlakon sejak Ogos lalu atas kesibukan melanda.
Seperti Sam diberi kepercayaan produser Mejar David Teo menjadi hero dalam filem terbitannya, rezeki juga memihak pada Wawa yang sebelum ini dikenali menerusi drama remaja, Klik tampil sebagai pelakon utama.
Wawa berkata, dia sangat bersyukur atas peluang yang diberikan dan sangat teruja untuk melakonkan watak utama yang lebih dewasa. Namun dia akui tanggungjawab digalas berat dan perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
“Dalam dua filem baru sebelum ini iaitu Aji Noh Motor dan 99 Kali Rindu, saya tampil dengan watak bertudung. Begitu juga, watak saya lebih psiko dalam Hantu Botol Kicap manakala jadi gedik untuk filem baru, Seram Sejuk.
“Kesemua watak yang saya bawa mempunyai kelainan. Mengikut plot, saya adalah rakan sekerja pada Remy yang dalam diam menyimpan perasaan cinta tapi dia lelaki pemalu,” katanya.
Brando pula yang pernah menerbitkan filem Love Matters (2009) dan Aku Tak Bodoh, mengambil strategi baru apabila bekerjasama dengan MIG dari aspek pengedaran dan pemasaran.
Katanya, David memberi galakan kepadanya membuat pinjaman perfileman pertama kali untuk projek filem ini dan menggunakan hampir kesemua pelakon utama MIG.
“Memang pada mula saya terfikir Sam untuk melakonkan watak utama ini. Ketika saya menonton Jangan Pandang Belakang Congkak, saya lihat Sam ada kelainan dan ‘versatile’.
“Begitu juga, ketika saya diperkenalkan David dengan Wawa ketika acara Anugerah Skrin tahun lalu, saya melihat dia sangat manis dan menarik. Filem ini cuba menggabungkan elemen aksi dan sedikit elemen komedi situasi,” katanya.
Apa yang ingin disampaikan, Brando menyatakan kisah gangster kali ini tiada kena mengena dengan sekuel gangster yang pernah dilakonkan Sam dalam filem lain.
David juga sudi memberi sokongan dan semangat kepada rakannya itu agar mengarah serta menerbitkan filem sendiri. Bertindak sebagai penasihat, dia melihat kerjasama terjalin atas keikhlasan kedua pihak.
Filem yang dijangka membelanja kos antara RM1.3 sehingga RM1.5 juta ini memulakan penggambaran di sekitar Lembag Klang bermula 27 Mac ini. Ia turut dijayakan Wan Hanafi Su, Razib Salimin, Shajiry, Zul Suphian, Fyza Kader, Epy Raja Lawak, Alex Yanz dan Mikael Andre. - myMetro
Perhatian!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment