MELBOURNE: Seorang pelajar kelahiran Indonesia kelmarin dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas didapati bersalah membunuh kekasih ibunya berasal dari Malaysia.
Andrew Iskander, 21, berdepan hukuman penjara maksimum selama 25 tahun oleh Mahkamah Tinggi New South Wales atas kesalahan membunuh Mohd Shah Saemin, 43, dari Melaka, di Leichhardt di bahagian barat Sydney, tengah malam 21 Februari 2010, lapor Australian Associated Press (AAP).
Hakim David Davies turut mengenakan hukuman penjara tertangguh selama setahun 11 bulan dan 15 hari terhadap ibu Andrew, Nita Iskandar, 48, kerana bersubahat.
Andrew pada November lalu memberitahu juri, dia menggunakan tukul untuk mempertahankan diri selepas Mohd Shah, yang bekerja dengan ibunya di Kedutaan Malaysia di Sydney, menyerangnya dan bapanya.
Tertuduh menafikan merancang pembunuhan itu atau mengetahui hubungan sulit ibunya dengan Mohd Shah yang bekerja sebagai pemandu di Kedutaan Malaysia.
Namun, mahkamah mendapati pembunuhan itu dirancang antara Andrew dan bapanya selepas hubungan sulit berkenaan diperkatakan di kalangan komuniti Indonesia di Sydney.
Sehari kemudian pada 29 November, mahkamah mendapati Nita bersalah kerana bersubahat berikutan tindakannya membantu Andrew melarikan diri ke Singapura selepas Mohd Shah dipukul sehingga mati.
Peguam Nita, David Price memberitahu mahkamah Nita bertindak atas naluri keibuan ketika membantu Andrew meninggalkan negara.
“Lelaki yang dicintai, teman baiknya... seseorang yang dia mahu kahwini dibunuh dengan kejam di jalanan kerana suaminya enggan menerima hakikat hubungannya dengan si mati,” Price dipetik sebagai berkata oleh AAP, memberitahu mahkamah. — Bernama
Perhatian!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment