Kes bunuh dan bakar Dirang: Reman tujuh hari lagi

on Sunday, 18 March 2012


JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret, di sini, semalam meluluskan permohonan lanjutan reman seminggu lagi terhadap tiga suspek utama kes bunuh dan bakar kanak-kanak berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, sehingga 23 Mac ini.


Pendaftar Mahkamah Rendah, Nuriza Mustaffa melanjutkan tempoh tahanan reman itu bermula semalam bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut, selain mengumpul bukti berhubung kes terbabit.


Ketiga-tiga suspek, termasuk seorang wanita, berusia 30-an serta 40-an yang dikawal ketat anggota polis memakai baju lokap berwarna oren tiba di perkarangan Mahkamah Majistret menaiki kenderaan polis jam 9.45 pagi bagi mendapatkan perintah reman berkenaan.


Perkarangan mahkamah dipenuhi wakil media daripada pelbagai organisasi yang menunggu kehadiran mereka.


Mereka berjalan sambil menundukkan muka bagi mengelak wajah dirakam.


Ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, berkata, dia sekeluarga mengharapkan siasatan dan hukuman dapat dijatuhi terhadap penjenayah yang melakukan perbuatan kejam terhadap anaknya.

“Dirang hanya anak kecil yang tak tahu apa-apa. Dia langsung tak bersalah. Perlakuan penjenayah terbabit sungguh tidak berperikemanusiaan,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, lanjutan tahanan reman itu dibuat bagi membolehkan pihaknya mengumpul bahan bukti sebelum menyerahkan kertas pendakwaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Bapa kandung Dirang, warga negara Filipina yang ditahan sebelum ini, dijangka dihantar pulang ke negara asalnya, esok.



“Saya bersama anggota polis yang lain komited dan berjanji akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memberi keadilan sepatutnya kepada Dirang sekeluarga,” katanya.


Pada 1 Mac lalu, Dirang dilaporkan hilang ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar, 12 Mac lalu.

Kematiannya disahkan melalui ujian deoxyribonucleic asid (DNA) yang dijalankan terhadap rangka manusia yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai 8 Mac lalu, yang sepadan dengan DNA Roselyn.


Ketiga-tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita ditahan polis pada hari Dirang dilaporkan hilang, manakala bapa kandung kanak-kanak berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan pada 8 Mac lalu.


Kelmarin, bapa kandung Dirang disahkan tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam itu.


Ranking: 5

Perhatian!

farishishak.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui ruangan komen di bawah mahupun komen melalui laman sosial facebook. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Artikel ini bermanfaat? Silakan SHARE. :)

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
Copyright © 2012 Realiti Fantasi | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO