Lima finalis Anugerah Nasyeed.Com

on Monday, 19 March 2012

SEMEMANGNYA ia sesuatu yang baik apabila pihak syarikat Nasyeed Edutainment Publishing Sdn. Bhd. atau Nasyeed.Com mengambil langkah prihatin untuk memartabatkan industri nasyid di Malaysia yang semakin dipandang sepi.



Menerusi penganjuran Anugerah Nasyeed.Com yang bakal berlangsung pada 13 April ini di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur, ia secara tidak langsung dapat mengembalikan semula keghairahan peminat terhadap muzik nasyid seperti mana 15 tahun lalu, sekali gus menjadikan irama nasyid setanding dengan irama-irama lain yang terdapat di Malaysia.

Itu harapan yang dipegang oleh Pengasas Nasyeed.Com, Azmee Abdul Manap. Malah, Azmee juga mahu menjadikan Anugerah Nasyeed.Com sebagai acara tahunan yang sama berprestij dengan Anugerah Industri Muzik (AIM).

“Anugerah ini diadakan untuk martabatkan industri nasyid di Malaysia. Saya berhasrat ingin menjadikan irama nasyid juga setaraf dengan irama-irama lain yang terdapat di Malaysia.

“Malah, setiap lima tahun sekali kami bercadang ingin menjadikan ia penjenamaan baharu untuk menjadikan anugerah itu bertambah meriah,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media pelancaran Anugerah Nasyeed.Com di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya baru-baru ini.


Mengakui terpaksa memikul cabaran yang besar untuk melaksanakan majlis tersebut dari segi mendapatkan dana dan penaja, Azmee bagaimanapun, tidak mudah patah semangat untuk menjadikan anugerah itu berjaya.

Ditanya mengenai pemilihan lagu-lagu nasyid yang akan bertanding, tutur Azmee, lagu-lagu yang dipilih adalah dari tahun 2000 hingga 2010 dan undian awal lagu-lagu nasyid tersebut dibuat menerusi laman sosial Facebook.

“Ada dua kategori penjurian dibuat iaitu lagu-lagu popular akan diundi oleh peminat menerusi Facebook, manakala lagu terbaik pula akan diadili oleh juri profesional yang terdiri daripada Farihin Abdul Fatah, Ad Samad, Profesor Dr. Fakriyah, Along Exist dan Alfa Booty,” jelasnya lagi.

Menurutnya, setakat ini lima finalis untuk 11 kategori sudah disenarai pendek berdasarkan undian popular serta penilaian kualitatif oleh para juri profesional.

“Bermula 9 Mac sehingga 8 April ini, para finalis masing-masing bagi kategori Nasyeed Cinta, Nasyeed Amar, Nasyeed Munajat, Nasyeed Perjuangan, Nasyeed Sirah, Nasyeed Selawat akan diundi sekali lagi oleh peminat untuk menentukan lagu yang bakal menjadi juara bagi setiap kategori sekali gus menentukan pemenang bagi anugerah Juara Carta Nasyeed.Com.

“Bagi kategori Lagu Terbaik, Susunan Muzik Terbaik, Vokal Terbaik, Lirik Terbaik dan Klip Video Terbaik, pihak juri akan bersidang sekali lagi dalam usaha memilih pemenang bagi kategori-kategori tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, untuk tahun depan, Anugerah Nasyeed.Com akan memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Artis Baharu Terbaik dan Artis Nasyid Luar Negara Terbaik.

Bagi mempromosikan Anugerah Nasyeed.Com, beberapa siri jelajah akan diadakan di empat zon berbeza seluruh negara merangkumi utara, selatan, pantai timur dan juga Lembah Klang.

Majlis kemuncak acara penyampaian anugerah Nasyeed.Com akan diadakan pada 13 April ini, pukul 8.30 malam, di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Sedikit kelainan berbanding majlis anugerah muzik yang lain apabila pada keesokan harinya, iaitu pada 14 April pula akan diadakan Konsert Anugerah Nasyeed.Com. - Kosmo! Online
Ranking: 5

Perhatian!

farishishak.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui ruangan komen di bawah mahupun komen melalui laman sosial facebook. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Artikel ini bermanfaat? Silakan SHARE. :)

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
Copyright © 2012 Realiti Fantasi | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO