Enggan menoleh ke belakang, perjalanan hidupnya yang dilalui penuh berliku sebelum bergelar supermodel lelaki tersohor tanah air ditransformasikan menjadi sebuah pengalaman penuh berharga.
"Tiga tahun lalu sewaktu pulang ke kampung, keluarga halau saya keluar dari rumah! Saya menangis, kata mereka saya bukan darah daging mereka lagi.
"Selepas kejadian itu saya lari dan bertekad tidak akan pulang ke kampung sehinggalah kakak saya datang dan pujuk saya pulang.
"Kini, kedua-dua ibu dan ayah saya peminat nombor satu saya," ungkap supermodel yang mengunakan nama pentasnya Wilson Tan itu sewaktu memulakan bicara bersama Kosmo! pada petang yang diiringi hujan di kafe Godiva Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Benar, dia lebih rela memilih risiko semata-mata mahu mengejar impian. Selain berdepan tentangan keluarga suatu masa dahulu, Wilson juga pasrah melepaskan kerjaya jurutera di pelantar minyak untuk kerjaya di bidang penuh glamor itu.
"Saya tiada jiwa untuk meneruskan kerjaya jurutera yang sememangnya menawarkan gaji lumayan itu, dan sewaktu mula melangkah ke dunia peragaan saya berdepan situasi getir.
"Hidup memang sengsara sebelum orang kenal saya, gaji yang tidak menentu, sedikit dan kadang-kadang ada orang mengeji.
"Berbekalkan duit simpanan daripada hasil kerjaya sebagai jurutera saya mengubah penampilan, ibarat 'membeli' sebuah karisma," katanya menghabiskan sehingga ribuan ringgit untuk kelihatan menonjol dari segi penampilan.
Mujur dia dikurniakan kulit dan ketinggian sempurna seorang peragawan iaitu 190 sentimeter. Namun, Wilson akui dahulunya dia bukan seperti dirinya yang ditatap umum hari ini.
Boleh diibaratkan seekor rama-rama yang keluar dari kepompong, ramai yang tidak menduga daripada seorang budak kampung, Wilson boleh berubah menjadi supermodel.
"Saya masih ingat asal usul, saya sedar kedudukan saya suatu masa dahulu. Orang yang dekat dengan saya nampak perubahan demi perubahan yang saya lalui.
"Dulu saya seorang yang comot dan selekeh. Langsung tiada aura, kalau orang melihat perbandingan gambar saya dahulu dan sekarang masih ramai yang sukar percaya," ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.
Jaga perangai
Pernah dia merasakan untuk menamatkan impiannya memburu gelaran supermodel sehinggalah dia meraih semangat yang jitu sebaik sahaja dinobatkan menjadi model terbaik Asia sempena Asian Model Festival Awards di China tahun lalu.
Baru-baru ini pula, dia dianugerahkan pencapaian penuh berprestij Model Of The Year 2012 pada pertunjukan fesyen Mercedez-Benz Stylo 2012 yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu lalu.
Wilson juga sebelum itu memenangi anugerah paling berprestij iaitu Industrial Awards sempena World Championship of Performing Arts pada tahun 2009 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Sesiapa boleh jadi supermodel katanya, ia adalah satu pakej dalaman dan luaran yang melengkapi diri seseorang.
"Kalau ikutkan ukuran antarabangsa, ketinggian yang diperlukan untuk menjadi supermodel adalah 180 untuk wanita dan 187 untuk lelaki.
"Biasanya, model yang tidak cukup ketinggian akan menceburkan diri untuk iklan produk di kaca televisyen atau papan iklan, yang paling utama ada rupa yang unik, karisma dan menjaga perangai," cerita Wilson yang memulakan bidang peragaan selepas diajak rakan sebiliknya sewaktu menuntut di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Curi duit Thailand
Tahun lalu Wilson tidak terlepas daripada terpalit kontroversi dalam dunia peragaan sendiri. Dia dituduh mencuri sejumlah wang bernilai 500,000 baht Thailand (RM49,000) sewaktu menjadi sami Wat Nuan Chan, di sana.
"Kes itu sudah selesai, apabila mendapat tahu saya difitnah saya terus membuat laporan polis sekali gus mengharamkan individu terbabit mendekati saya dan memasuki negara Thailand dan Malaysia," katanya yang mendakwa difitnah oleh seorang model lelaki dari Vietnam.
Menurut Wilson, model itu sering kali terlibat dengan beberapa konspirasi menjatuhkan model yang sedang meningkat naik di sekitar negara Asia Tenggara.
"Namun, saya sudah maafkan dia. Katanya ketika kebetulan terjumpa, dia disuruh beberapa pihak untuk menjatuhkan saya," tambah Wilson yang berada di negara itu selama sebulan untuk menjadi sami.
Bogel itu seni
POSE seorang supermodel yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Model Of The Year 2012 bersempena pertunjukan fesyen Mercedez-Benz Of The Year Stylo 2012 Kuala Lumpur minggu lalu. |
Karier supermodel pasti tidak lari daripada dikaitkan isu dan etika sesi fotografi khususnya apabila dikehendaki berbogel. Bagi Wilson, dia melihat perkara itu daripada perspektif seni namun perlu ada batasan.
"Bergambar dalam keadaan bogel adalah perkara biasa di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah, cuma di Asia kita perlu menghormati budaya ketimuran.
"Berbogel atau separuh bogel bagi saya merupakan seni dan sesuatu yang dipandang tinggi dalam dunia fesyen, namun had saya tidak sampai menunjukkan kemaluan semata-mata untuk sekeping gambar," katanya yang pernah bergambar separuh bogel untuk sebuah majalah luar negara pada bulan April tahun lalu.
Tambahnya, sesi fotografi yang dijalankan itu sebahagian caranya mengumpul pengalaman dan melengkapkan diri dengan pelbagai teknik peragaan.
"Saya suka mencabar diri, suka perkara yang sering berubah-ubah, semakin susah semakin itu yang saya suka," katanya. - Kosmo! Online
Perhatian!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment