Dalam kejadian jam 7 pagi di Rawang kelmarin, seorang guru wanita cedera di muka dan separuh badan akibat disimbah dengan cecair dipercayai asid oleh dua lelaki yang meragut rantai emasnya ketika menunggu bas di pondok menunggu bas di Batu 17, di sini.
Mangsa, S Rani, 47, yang ingin ke tempat kerja tiba-tiba ditegur dua lelaki yang turut bersamanya menunggu bas.
Menurut saksi, Nur Aqilah Osman, 14, ketika kejadian dia menunggu bas untuk ke sekolah apabila ternampak kedua-dua lelaki terbabit bercakap dengan mangsa.
“Ketika wanita itu sedang bercakap dengan kedua-dua lelaki terbabit tiba-tiba mereka meragut rantai emasnya dan dia cuba melawan, tetapi disimbah asid daripada botol yang dibawa seorang daripada lelaki itu,” katanya.
Dia berkata, lelaki terbabit turut menyimbah sisa asid kepadanya menyebabkan bahagian belakangnya melecur.
“Tanpa menghiraukan tudung, pakaian serta beg sekolah yang terbakar terkena asid, saya terus berlari pulang ke rumah untuk meminta bantuan kerana tidak tahan perit,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 16 itu.
Sebelum kejadian, dia berkata, dua lelaki terbabit dilihat bersandar di palang pondok menunggu bas itu sebelum mereka menegur seorang wanita berumur.
Malah, gadis itu juga nampak seorang daripada lelaki terbabit memegang botol, tetapi menyangkakan ia minuman. Nur Aqilah ketika ditemui di rumahnya di sini, malam tadi, berkata mangsa menjerit meminta tolong sambil memegang mukanya yang kemerahan akibat terbakar manakala dia dan rakan sekolah hanya mampu melihat kerana bimbang dicederakan penjenayah terbabit.
“Saya dan rakan cuba lari tetapi lelaki terbabit menyimbah baki asid ke arah kami dan dua lagi orang awam di pondok bas itu sebelum beredar dengan selambanya.
“Cecair itu kena pada belakang bahu saya dan tangan seorang wanita lain,” katanya.
Bapa Aqilah, Osman Delisali, 50, menghantarnya ke Hospital Selayang (HS) untuk rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dengan bantuan jiran.
Osman berkata, dia sedang bersiap-siap untuk menghantar adik Nur Aqilah ke sekolah apabila tiba-tiba melihat anak keempat daripada lapan beradik itu pulang dalam keadaan tubuh berasap.
“Saya kehairanan dan bertanya kenapa dia balik rumah semula, tetapi Nur Aqilah menjerit sambil menceritakan disimbah asid ketika sedang menunggu bas ke sekolah.
“Tanpa membuang masa, saya segera mencurah air ke tubuhnya bagi mengurangkan kepedihan,” katanya.
Katanya, dia lega apabila doktor yang merawat memaklumkan kecederaan itu tidak serius dan boleh sembuh dengan menyapu krim khas untuk kulit terbakar.
“Mujur anak saya mengelak dan hanya cedera ringan. Saya tidak dapat bayangkan kesakitan dan kesan buruk yang terpaksa dilaluinya jika kecederaannya serius seperti yang menimpa seorang lagi mangsa,” katanya yang bekerja sebagai tukang mesin rumput.
Sementara itu, dalam kejadian di Serdang pula, seorang kontraktor, S Thinagaran, 19, melecur sebelah muka kanan dan rabun sebelah mata selepas terkena asid disimbah dua lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kinrara Mas, selepas selesai menjalankan tugas di Rawang. “Walaupun dalam keadaan kesakitan selepas muka terbakar akibat dibaling cecair asid dua lelaki bermotosikal, saya sempat memandu kereta sejauh lima kilometer ke klinik di Kinrara untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Dalam kejadian jam 7 malam Isnin lalu, mangsa berkata, dia tidak mengenali dua lelaki berusia 20-an yang menaiki motosikal jenis Modenas Kriss yang tiba-tiba membaling cecair dipercayai asid ke arahnya.
Katanya, dia hanya sempat melihat dua lelaki memakai topi keledar memegang botol mineral sebelum berpaling ketika ke arah mereka selepas namanya dipanggil.
“Sebaik menoleh, mereka terus membaling cecair itu ke muka saya hingga menyebabkan terbakar dan menggelupur kesakitan sebelum berlari masuk ke dapur untuk membasuh muka,” katanya.
Katanya, dalam keadaan kesakitan dan mata sebelah kanan menjadi rabun, dia memandu ke klinik berhampiran manakala ayahnya mengikut dengan kereta lain.
Selepas mendapat rawatan awal, dia dibawa ke Pusat Perubatan Subang Jaya untuk rawatan lanjut yang mengesahkan muka sebelah kanannya terbakar akibat terkena asid.
Thinagaran berkata, dia tidak tahu motif sebenar dua lelaki itu yang berkemungkinan bermusuh dengannya akibat pergaduhan setahun lalu dan masih menyimpan dendam terhadapnya.
“Ayah saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Puchong untuk siasatan lanjut dan mahu dua lelaki itu diambil tindakan sewajarnya,” katanya. - myMetro
Perhatian!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment