KULIM - “Masalah mengandung bukan serius seperti dulu. Terdapat ubat tertentu yang dijual di kebanyakan klinik dan ia mudah diperoleh, saya juga pernah memakan ubat itu empat bulan lalu,” itu kata seorang pelajar tingkatan lima yang hanya mahu dikenali sebagai Adik.
Adik mengakui dia menjalin hubungan cinta dengan suami orang berusia 26 tahun sejak setahun lalu.
Menurutnya, teman lelakinya yang mempunyai seorang anak itu bekerja sebagai seorang penyelia di sebuah kilang di Kulim Hi-Tech.
“Saya rasa lebih terjamin dan selamat sekiranya menjalinkan hubungan cinta dengan suami orang berbanding rakan sebaya kerana pada saya seorang lelaki bergelar suami merupakan lelaki paling penyayang dan bertanggungjawab,” katanya.
Adik berkata, dia hanya akan bertemu dengan kekasihnya pada hari cuti terutamanya Jumaat dan Sabtu. Untuk memastikan hubungan mereka tidak diketahui kenalan lain, mereka akan keluar bersama ke daerah lain untuk melepaskan rindu.
“Pada pagi hari Jumaat, saya selalunya akan ke sekolah untuk menjalani aktiviti kokurikulum antaranya berkawad. Saya akan ke sekolah seawal jam 7.30 pagi dan sampai kira-kira jam 8 pagi.
“Selepas meletakkan motosikal dalam sekolah, teman lelaki saya sudah menunggu dalam keretanya di luar sekolah. Selalunya kami akan ke Cameron Highlands yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Kulim.
Menurutnya, sebelum ke sana, teman lelakinya itu akan berhenti di hentian rehat Butterworth Kulim Express Highway (BKE) untuk menukar pakaian.
“Kami akan berada di pusat peranginan itu sehingga jam 3 petang sebelum berpatah balik ke Kulim dan sampai di sekolah sekitar jam 5.30 petang dan berada di rumah kira-kira jam 6 petang,” katanya.
Adik berkata, mereka juga sering bercuti bersama sekiranya pihak sekolah menganjurkan sebarang lawatan yang memerlukan masa dua hingga tiga hari.
Menurutnya, dia tidak akan mengikuti rombongan sekolah sebaliknya bercuti bersama kekasihnya dan akan berada di sekolah semula, sama seperti teman lain ketika rombongan itu tiba di sekolah.
Sementara itu, Ketua Wanita PKR Cabang Kulim Bandar Baharu yang juga Pengerusi Pusat Khidmat Aduan Rakyat Parlimen Kulim Bandar Baharu, Suraiya Hashim berkata, beliau tidak menafikanramai remaja bawah umur lebih tertarik dengan suami orang berbanding rakan sebaya. Ini kerana, memiliki kekasih yang merupakan suami orang dapat memenuhi hampir keseluruhan kehendaknya sebagai pelajar sekolah.
Menurutnya, sebagai pelajar tidak banyak komitmen yang harus diberikan kerana remaja itu tinggal bersama keluarganya.
“Remaja bawah umur dijadikan kekasih hanya untuk tujuan berseronok semata-mata dan selalunya terjalin dalam jangka masa singkat.
“Bagi seorang suami, mereka hanya ingin berseronok apabila didampingi remaja bawah umur ini. Selain itu mereka tidak akan bosan melayan kerenah mereka kerana pasangan itu akan berjumpa seminggu sekali sahaja,“ katanya.
Suraiya berkata, bagi remaja perempuan mereka akan seronok apabila kekasih mereka memberi kad tambah nilai ke telefon mereka biarpun dengan nilai RM10 kerana jumlah itu sudah besar bagi mereka.
“Dalam masalah ini ibu bapa seharusnya melihat perubahan anak mereka. Bawa anak berjumpa doktor dan membuat pemeriksaan, sekiranya disahkan pernah melakukan hubungan seks, ibu bapa harus membuat laporan polis,” katanya. - Sinar Harian
Perhatian!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment