Guna ilmu matematik selesai masalah

on Sunday, 25 March 2012

HIDUP dalam keluarga besar dengan sembilan adik beradik, beliau tidak terlepas melalui zaman susah sekitar 1960-an. Makanan terpaksa dicatu, manakala pakaian lusuh dan koyak yang berjahit membaluti tubuh.

Bapanya anggota polis berpendapatan RM90 sebulan dan wang berkenaan perlu digunakan sebaik-baiknya untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga.



Waktu itu, barangan runcit murah dan sebagai langkah berjimat cermat, orang tuanya membeli seguni tepung gandum dan satu tin biskut untuk stok makanan sebulan.

Disebabkan tugas bapanya sebagai anggota polis, Prof Madya Mohamed Fadzil Che Din dan keluarga sering berpindah randah.


Dr Mohamed Fadzil yang juga anak kelima dilahirkan di Perak dan pernah menetap di Kemaman dan Dungun, Terengganu sebelum pulang ke kampung halaman bapanya di Pulau Pinang kerana meneruskan persekolahan di Jelutong Primary School dan Penang Free School.


Pengarah Institut Sosial Malaysia itu pernah menimba pengalaman sebagai guru dan kaunselor di Sekolah Menengah Sungai Acheh, Seberang Prai Selatan selama setahun sebelum menjadi tutor di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Disebabkan kecemerlangannya dalam pelajaran, beliau ditawar melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang kaunseling pekerja di University Hull, England.

“Saya terima cabaran melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran. Sebagai pelajar, pemimpin pelajar dan pemimpin komuniti, saya belajar menguruskan kehidupan di rantau orang.

“Banyak perkara yang saya pelajari sepanjang di negara orang, termasuk erti keyakinan hidup dan menjadikan konsep kendiri lebih mantap,” katanya yang turut terbabit sebagai pemimpin Kesatuan Melayu United Kingdom dan Persatuan Pelajar Malaysia di universiti terbabit.

Dr Mohamed Fadzil yang diiringi keluarga ketika melanjutkan pengajian di England menghayati budaya berbeza masyarakat di sana.

Beliau berusaha membuka dan memecah minda masyarakat Melayu di negara itu supaya tidak berkelompok antara mereka, selain menggalakkan pergaulan lebih luas dan meneroka kehidupan di sana.

Ini bagi membolehkan mereka mencedok dan mencontohi nilai baik yang diamalkan masyarakat England untuk dimanfaatkan apabila pulang ke tanah air.

“Cabaran ketika melanjutkan pengajian peringkat PhD ialah apabila pensyarah yang menyelia saya mengalami serangan jantung, menyebabkan pengajian saya tergendala hampir dua tahun.

“Waktu itu saya teraba-raba dan sering memikirkan bagaimana masa depan kalau saya gagal menyiapkan PhD. Sudah tentu saya pulang ke Malaysia dengan tangan kosong,” katanya.

Selepas menunggu dengan penuh kesabaran, kesihatan penyelianya pulih dan Dr Mohamed Fadzil berjaya menyempurnakan pengajian.

Pulang ke Malaysia pada 1995, beliau dilantik sebagai pensyarah di UPM. Pengalaman sebagai pensyarah dan pengurus pelajar menjadikan dirinya lebih cekap.

Beliau turut berpeluang menjadi pengetua kolej dan penggerak persatuan pelajar, di samping mempunyai satu rangkaian kerja yang sangat besar dengan 3,000 penuntut di seluruh negara, terutama dalam bidang bimbingan dan kaunseling.

Jika sewaktu menuntut di UPM, beliau pernah meraih pingat emas canselor dan ijazah sarjana muda kelas pertama, Dr Mohamed Fadzil turut boleh berbangga kerana selepas menjadi pensyarah, beliau pula berjaya melahirkan pemimpin pelajar serta pelajar ijazah kelas pertama.

Beliau banyak membabitkan diri dalam lingkungan kaunseling profesional untuk membantu pelajar dan masyarakat, termasuk membantu remaja yang hamil luar nikah.

Menurutnya, minat menjadi kaunselor bercambah ketika bertugas sebagai guru dan kaunselor yang menyebabkannya rapat dengan pelajar serta mendalami masalah mereka.

“Saya pernah menjadi guru Matematik dan dengan ilmu itu, saya membantu pelajar bermasalah dengan logik tertentu serta berfikir di luar kotak.

“Jika orang lain melihat daripada sudut kemanusiaan, keagamaan, bahasa dan sastera, saya pula memahami manusia secara lebih saintifik dengan ilmu matematik,” katanya.

Benci sikap tak tepati masa

1. Sikap anda?

Tidak suka bertangguh dan jika berjanji menyelesaikan sesuatu, saya akan sedaya upaya menyelesaikannya. Saya lebih banyak menggembirakan orang.


2. Tabiat anda yang sering ditegur tetapi sukar diubah?

Banyak pergerakan ketika bercakap. Ada yang memberi komen saya seperti menebar roti canai. Kalau makan, saya makan penuh semangat. Jika makan suplemen, saya sukar mematuhi jadual.


3. Apa yang mudah membuatkan anda ketawa?

Gelagat anak bongsu yang kelakar.


4. Hobi anda?

Mengembara.


5. Apa yang anda tidak suka dalam kehidupan seharian?

Mood terjejas jika ada individu tidak menepati masa ketika menghadiri mesyuarat dan tidak menjelaskan sebab hadir lewat.


6. Jika berdepan perkara tidak disukai, apa yang anda lakukan?

Saya akan tarik diri terlebih dulu, memikirkan cara menangani dan tampil semula untuk bertindak.




Disebabkan kepakarannya dalam bidang kaunseling, beliau ditawarkan kerusi pengarah di ISM pada 2006. Menerima tawaran itu, Dr Mohamed Fadzil berkata, prinsipnya bukan mencari jawatan tetapi disebabkan tugas atau kerja.

“Apa yang saya teroka dan peroleh ketika menjadi ahli akademik, saya cuba terjemahkan menerusi aktiviti dan program untuk membantu masyarakat,” katanya.


Antara program diperkenalkan ialah satu keluarga satu kaunselor (SKSK) dan menggerakkan aktiviti sukarelawan dengan melatih penuntut institusi pengajian tinggi, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta melatih pekerja sosial secara profesional.

Antara pengalaman dilalui ketika menjadi kaunselor ialah menangani kes gadis terlanjur. Rumahnya menjadi tempat perlindungan sementara sehingga kes berkenaan diselesaikan.

Daripada kebanyakan kes, beliau mendapati gadis terlanjur lebih dipengaruhi rakan, konsep kendiri rendah dan membiarkan diri dikuasai lelaki.

Bagi Dr Mohamed Fadzil, kerja melebihi segala-galanya. Pernah bertugas sebagai guru, kaunselor, pensyarah dan pengarah, fokus dan masa banyak ditumpukan pada kerja.

Beliau bekerja 12 jam sehari dari jam 6 pagi hingga 6 petang, enam jam diperuntukkan untuk keluarga dan enam jam lagi untuk berehat.

Biarpun masa terhad dengan keluarga, seboleh-bolehnya beliau cuba menjadi bapa yang baik.

Antara perkara diamalkan ialah sesibuk manapun, beliau memastikan dapat menunaikan solat maghrib berjemaah bersama keluarga serta makan malam bersama.

“Jika perlu bekerja di luar daerah, saya mengambil penerbangan pagi dan pulang lebih awal bagi memastikan dapat menunaikan solat berjemaah dengan keluarga. Misalnya, untuk tugasan di Sabah, saya menaiki penerbangan pagi dan selesai memberi ceramah pada jam 1 tengah hari, pulang dengan penerbangan petang dan tiba di rumah sebelum maghrib.

“Saya terapkan konsep proaktif ialah berfikiran seperti juruterbang iaitu perlu ­­berjaga-jaga sebelum melanggar awan. Fikir apa yang kita akan hadapi dan perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Antara impiannya ialah meneroka dunia dan ilmu baru yang lebih mencabar, misalnya mengapa manusia bermasalah dan cara orang di negara lain menyelesaikan masalah.

“Saya ingin melihat profil permasalahan manusia, misalnya cara orang di China atau Kemboja menangani masalah mereka.

“Saya mahu mewujudkan rangkaian khidmat bagi membantu masyarakat berteraskan psikososial atau kaunseling,” katanya.
Ranking: 5

Perhatian!

farishishak.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui ruangan komen di bawah mahupun komen melalui laman sosial facebook. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Artikel ini bermanfaat? Silakan SHARE. :)

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
Copyright © 2012 Realiti Fantasi | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO