Gambar Hiasan |
SUNGAI PETANI: “Saya nampak anjing itu membuka luas mulutnya sebelum menyambar kaki kiri saya. Walaupun menjerit meminta tolong, tiada siapa membantu,” kata Muhammad Nabil Amin Abd Wahab,10, yang terpaksa menerima 20 jahitan selepas diserang tiga anjing liar ketika bermain bola di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 6 petang, dia bersama beberapa rakannya bermain bola sepak di Padang Awam taman perumahan itu, apabila tiba-tiba tiga anjing liar menyerangnya dari belakang.
Akibat kejadian itu, Muhammad Nabil yang cedera di kaki kiri dan tangan dikejarkan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Muhammad Nabil berkata, ketika kejadian, dia menjadi penjaga gol dan menyedari tiga anjing di belakangnya, namun tidak sempat menyelamatkan diri apabila anjing itu terus meluru ke arahnya.
“Saya sakit kaki akibat terpijak kaca seminggu lalu dan tidak dapat berlari menyebabkan menjadi sasaran tiga anjing dipercayai kelaparan itu. Seekor anjing menyambar kaki kiri menyebabkan saya terjatuh dan sempat menjerit meminta tolong, namun tiada siapa membantu.
“Seekor lagi anjing naik ke atas badan manakala seekor lagi berada di kepala mengawasi pergerakan saya. Nasib baik kejadian dilihat seorang pelanggan kedai makan berdekatan yang datang membantu,” katanya ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, ibu mangsa, Nor Azila Osman, 29, berkata, Muhammad Nabil sudah seminggu tidak bermain bola di padang berkenaan kerana kakinya belum sembuh akibat cedera terpijak kaca ketika bermain bola di padang sama. “Dia tidak boleh berjalan sempurna dan hari ini (semalam) sepatutnya jahitan luka kakinya dibuka, tetapi kelmarin kena tambah jahitan lagi di kaki kiri.
“Kejadian penduduk digigit anjing liar kerap berlaku di perumahan ini. Februari lalu, budak perempuan sekolah rendah berdekatan menerima nasib sama digigit anjing ketika pulang sekolah.
“Saya berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera mengatasi masalah itu,” katanya. - myMetro
Perhatian!
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment