“Ambillah apa saja kau nak, tapi jangan apa-apakan keluarga aku”

on Monday, 26 March 2012

TANJUNG MALIM – “Ambillah apa saja kau nak, tapi jangan apa-apakan keluarga aku.” Hanya itu yang diungkapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, Datuk Khusairi Abdul Talib ketika berhadapan dengan tiga perompak di rumahnya.

Keluarga wakil rakyat itu mungkin tidak dapat melupakan kejadian awal pagi Sabtu lalu buat selama-lamanya apabila kediaman mereka di Taman Wangsa Maju, di sini, dipecah masuk.


Khusairi berkata, ketika kejadian beliau dan isteri sedang lena di bilik tidur utama manakala empat anak mereka, berusia antara sembilan dan 18 tahun tidur di bilik masing-masing.

Beliau tersedar apabila seseorang mengejutkannya dan mendapati ada dua lelaki memakai topeng muka berada di atas katil sambil salah seorang daripadanya mengacukan pisau ke arahnya dan isteri.

Terkejut dengan keadaan itu, beliau menjerit dan salah seorang perompak memberi amaran supaya senyap dan mengikat tangannya serta isteri menggunakan wayar.

Katanya, jeritannya itu didengari salah seorang anak lelakinya berusia 14 tahun yang bertindak memeriksa apa yang berlaku, namun dise­dari salah seorang perompak sedang berada di pintu.

Kata beliau, suspek menahan anaknya itu dan berlaku pergelutan menyebabkan anaknya alami luka di badan serta lengannya.

Khusairi berkata, tiga anak­nya berusia sembilan hingga 13 tahun dibawa ke bilik tidurnya dan ditempatkan bersama-sama beliau dan isterinya sebelum perompak menggeledah biliknya untuk mencari barangan berharga.

“Ketika itu, saya hanya mampu berdoa dalam hati agar penjenayah yang dipercayai warga asing berdasarkan pertuturan mereka, tidak apa-apakan isteri dan anak-anak saya.

“Saya memberitahu mereka untuk ambil apa sahaja barang yang ada, tapi jangan kacau isteri dan anak-anak saya,” katanya, ketika menceritakan detik-detik cemas, di rumahnya, di sini, semalam.

Khusairi berkata, dua daripada penjenayah itu memakai topeng muka manakala seorang lagi menutup muka dengan baju.

“Antara yang dibawa lari wang tunai lebih kurang RM4,000, barang kemas, i-Pad, Samsung Galaxy Tab, telefon bimbit, komputer riba serta pasport antarabangsa milik saya. Kerugian dianggar berjumlah RM40,000.

“Kira-kira 30 minit mereka menggeledah rumah. Mereka melarikan diri melalui balkoni rumah,” katanya.

Menurutnya, setelah mendapati keadaan selamat, beliau meminta anak membuka ikatan pada tangan sebelum pergi ke bilik belakang untuk melihat anak lelakinya yang berusia 18 tahun yang diikat pada katil.

Kemudian katanya, beliau menghubungi polis yang tiba 10 minit kemudian.

“Saya buat laporan polis di Balai Polis Tanjung Malim jam 3.33 pagi. Sejam kemudian Unit Anjing Pengesan dan Forensik dari Ipoh datang buat pemeriksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Na-yan ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang giat menjejaki penjenayah itu. - Sinar Harian
Ranking: 5

Perhatian!

farishishak.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui ruangan komen di bawah mahupun komen melalui laman sosial facebook. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Artikel ini bermanfaat? Silakan SHARE. :)

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
Copyright © 2012 Realiti Fantasi | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO